AM

UUM BAKAL LAKAR SEJARAH, TAKLUK EVEREST BASE CAMP SEMPENA ULANG TAHUN KE-40

01/12/2024 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal mencipta sejarah tersendiri apabila sekumpulan pelajar dan pegawai akan menakluk Everest Base Camp, ekspedisi yang dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun ke-40 universiti itu.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Fo'ad Sakdan berkata kumpulan pendaki yang melibatkan empat pelajar dan empat pegawai pengiring itu akan mula mendaki Everest pada 14 Dis ini.

"Kita memilih Gunung Everest yang merupakan gunung tertinggi di dunia sebagai simbolik dalam  memperlihatkan keupayaan UUM.

“Ia juga melambangkan aspirasi universiti ini akan terus bergerak menjadi universiti terbaik di Malaysia pada masa akan datang," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Ekspedisi Empat Dekad UUM di Everest Base Camp, di sini hari ini. 

Majlis tersebut disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin yang juga Pro-Canselor UUM.

Mengulas lanjut, Fo'ad berkata kumpulan itu juga akan mendokumentasikan perjalanan tersebut dalam bentuk kewartawanan peranti atau mobile journalism (MOJO) serta rakaman video bagi menghasilkan kandungan kreatif seperti realiti maya (VR) dan dokumentari pendek sebagai panduan digital serta buku mewah (coffee table book) dan log kembara (travel log) berkaitan pendakian. 

Sementara itu, wakil pelajar, Ihsan Sabri Kamaruddin berkata beliau dan rakan Muhammad Syamim Mohd Hamdan, Muhammad Aidil Muhammad dan Murfiqah Nurina Mohd Razali telah menjalani latihan intensif sejak Ogos lepas.

Ia termasuk mendaki gunung di sekitar Kedah untuk membina kecergasan fizikal selain menerima bimbingan daripada bekas pendaki negara Azim Afif Ishak yang berperanan sebagai penasihat program, katanya.

Pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata mereka amat bersemangat untuk memanfaatkan peluang tersebut bagi menghasilkan kandungan yang berbeza daripada kandungan video pendakian biasa yang ada di internet. 

"Kami harap kandungan VR yang dihasilkan nanti dapat memberi pengalaman yang lebih mendalam dan menarik untuk penonton," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan