IPOH, 1 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan sebanyak RM1.92 bilion untuk membina 23,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata jumlah berkenaan melepasi sasaran asal iaitu membina sebanyak 15,000 unit RMR.
"Pada peringkat awal, SPNB telah diperuntukkan dana sebanyak RM1.23 bilion untuk membina 15,000 unit RMR di seluruh negara menjelang 2025.
"Melihat kepada permintaan yang tinggi bagi Program RMR, Kerajaan MADANI kemudiannya bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM683 juta untuk membina lagi 8,000 unit RMR, termasuk RM504 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci rumah Vila Idaman dan RMR kepada 45 pemilik kediaman sempena Program Sentuhan Kejayaan KPKT di Vila Idaman, Chemor di sini hari ini.
Nga berkata pada tahun ini sahaja sebanyak 4,500 unit RMR telah dibina di seluruh negara dan SPNB merancang untuk membina 5,400 unit RMR pada tahun hadapan bagi memenuhi keperluan rakyat yang memerlukan kediaman.
Dalam pada itu, Nga berkata bilangan rumah mampu milik yang tidak terjual setakat ini di seluruh negara adalah sebanyak 24,000 unit iaitu merekodkan penurunan sebanyak 40 peratus.
"Sebelum ini sebanyak 37,000 unit rumah mampu milik tidak terjual, namun setelah kerajaan Perpaduan memegang tampuk pemerintahan sejak 2022, kita dapat mengatasi masalah (rumah mampu milik tidak terjual).
"Kini hanya 24,000 unit, itu pun termasuk projek perumahan yang sedang dalam proses pelancaran dan saya yakin dengan sektor hartanah yang dalam proses pemulihan, masalah rumah mampu milik tidak terjual dapat diatasi," katanya.
-- BERNAMA