AM

13 NELAYAN KAMPUNG TELAGA PAPAN RUGI LEBIH RM1 JUTA, BOT DIHANYUT OMBAK BESAR

01/12/2024 05:56 PM

BANDAR PERMAISURI, 1 Dis (Bernama) -- Seramai 13 nelayan di Kampung Telaga Papan di sini terpaksa menanggung kerugian apabila bot mereka dihanyutkan ombak besar awal pagi tadi.

Pegawai Daerah Setiu Ahmad Rizal Mamat berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, sebanyak lapan bot nelayan kelas A dan B serta 10 bot fiber yang berlabuh di jeti pantai di Kampung Telaga Papan mengalami kerosakan teruk.

“Kerugian keseluruhan yang dialami oleh 13 nelayan itu dianggarkan bernilai RM1.4 juta,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati hampir kesemua bot yang hanyut sejauh kira-kira dua kilometer ke pantai telah berjaya dibawa naik ke darat menggunakan beberapa jentera seperti jentolak dan traktor milik orang kampung yang melakukan perkhidmatan secara sukarela. 

Tekong bot Khairul Hassan Mohammad, 53, berkata dia menganggarkan kerugian yang dialaminya melebihi RM100,000 apabila sebuah bot kelas A dan dua bot fiber miliknya rosak teruk akibat fenomena air pasang besar tengah malam tadi.

 “Bot nelayan yang baharu bernilai RM120,000 manakala sebiji bot fiber RM20,000. Saya tidak tahu lagi seteruk mana kerosakan bot-bot saya tetapi yang pasti enjin semua bot telah rosak. Harga enjin bot pun bukanlah murah,” katanya.

Khairul Hassan yang menjadi nelayan sejak lebih 30 tahun itu berkata kejadian malam tadi adalah yang pertama kali dialaminya, malah ketika banjir buruk pada 2014 kesemua botnya selamat.

Seorang lagi tekong bot Khairul Azman Abdullah, 44, berkata kini dia lebih memikirkan nasib tiga anak kapalnya yang akan hilang pendapatan sementara menunggu dua bot nelayan kelas A miliknya yang pecah dan rosak teruk, dibaiki.

Katanya meskipun dia memiliki sebuah lagi bot pukat yang berlabuh di jeti nelayan di Kampung Duyong di Kuala Terengganu, namun bot tersebut tidak mampu menangkap hasil laut dalam jumlah yang banyak.

“Sebelum ini semua bot saya berlabuh di Kampung Duyong tetapi kerana saya tidak ke laut sepanjang musim tengkujuh ini jadi saya labuhkan bot di jeti di kampung ini kerana berdekatan dengan rumah. Jadi mudah untuk saya melihat bot setiap hari.

“Bot-bot yang rosak ini pula akan mengambil masa yang lama untuk dibaiki. Apatah lagi saya sudah satu bulan tidak ke laut kerana musim tengkujuh. Tidak tahu bila akan dapat ke laut pula. Mungkin selepas habis musim tengkujuh saya masih tidak dapat turun ke laut sementara menunggu bot dibaiki,” katanya.

 -- BERNAMA


 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan