IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Hujan luar biasa berterusan selama lebih 13 jam dengan taburan hujan mencecah 92.5 milimeter (mm) sejam di Empangan Ulu Kinta dikenal pasti sebagai punca berlakunya kejadian banjir kilat di Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini pada Ahad lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang Nga Kor Ming berkata ia berdasarkan laporan awal yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Hasil siasatan awal daripada Majlis Bandaraya Ipoh serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan bahawa hujan berterusan di sekitar Ipoh sejak Sabtu lepas telah menyebabkan paras air Sungai Kinta meningkat secara mendadak.
“Keesokannya, hujan yang berterusan telah menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan perumahan, menjejaskan kira-kira 200 isi rumah di kawasan Arena Kepayang Putra dan Fair Park,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 1 Dis, penduduk dan pasukan penyelamat terpaksa mengharungi air yang dipenuhi sampah serta berminyak bagi membantu membawa keluar mangsa yang terkandas akibat banjir, selain banjir kilat yang berlaku di kawasan itu juga disifatkan terburuk pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun.
Justeru, Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf ban sungai di sepanjang Sungai Kinta sebagai penyelesaian jangka panjang untuk menangani risiko banjir akibat perubahan iklim yang semakin serius.
Nga berkata Pasukan Khidmat DAP, JBPM serta MBI telah mengambil tindakan segera untuk melaksanakan operasi pembersihan selepas air banjir surut sepenuhnya hari ini.
Beliau berkata berdasarkan kategori keamatan hujan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran, taburan hujan melebihi 60 mm sejam diklasifikasikan sebagai hujan sangat lebat dengan hujan lebih 60 mm dalam tempoh dua hingga empat jam boleh menyebabkan banjir kilat.
"Kawasan Kinta turut mencatatkan taburan hujan bulanan yang melebihi purata jangka panjang pada November dengan jumlah sebanyak 370.2 mm berbanding purata 298.5 mm.
"Demi mengelakkan kejadian sedemikian, kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM108.5 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Kinta/Kampar," katanya.
-- BERNAMA