AM

SULTAN SELANGOR BERKENAN RASMI MASJID JAMEK CINA MUSLIM KLANG ESOK

04/12/2024 10:05 PM

SHAH ALAM, 4 Dis (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang di sini, esok.

Selangor Royal Office menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan pembinaan masjid yang terletak di Bandar Botanik itu cetusan idea Sultan Sharafuddin yang diilhamkan menerusi reka bentuk sebuah masjid di Xi’an, China.

Ia tercetus susulan lawatan baginda ke China pada 2015 dan berkesempatan melawat masjid di bandar Xi’an yang merupakan antara masjid tertua di negara itu.

“Tertarik dengan sejarah dan seni reka masjid berkenaan, baginda memasang impian agar sebuah masjid berkonsepkan seni bina yang hampir serupa didirikan di Selangor dan dijadikan sebagai masjid Cina Muslim.

"Baginda juga telah mencadangkan agar pihak kerajaan Selangor mengadakan lawatan ke Xi’an bagi mengambil ilham seni bina masjid berkenaan," menurut perkongsian itu.

Masjid Jamek Cina Muslim yang mampu menampung 1,000 jemaah itu siap dibina pada 11 Julai lepas dan dibuka secara rasmi pada 22 Ogos.

Dibina di atas tanah seluas 1.2 hektar, masjid tanpa kubah itu berada di Bandaraya Diraja Klang yang turut terletaknya Masjid Diraja Sultan Sulaiman di Kampung Jawa serta rumah ibadat agama selain Islam seperti tokong, kuil, gereja serta Gurdwara Sahib.

"Adalah menjadi hasrat baginda dengan terbinanya rumah ibadat pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang ini, akan dapat membentuk persefahaman serta perasaan hormat-menghormati antara penganut pelbagai agama di bandar raya ini khususnya dan di Selangor amnya," menurut perkongsian itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan