AM

AKTA 588: KEMENTERIAN KOMUNIKASI USAHA WUJUDKAN PERSEKITARAN DIGITAL SELAMAT - TEO

05/12/2024 04:58 PM

GEORGE TOWN, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi giat berusaha untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat di negara ini termasuk mengambil langkah penting menerusi pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata walaupun kecerdasan buatan (AI) berpotensi untuk mendorong kemajuan luar biasa, namun ia juga boleh disalahgunakan bagi tujuan pencerobohan privasi, penipuan atau penyebaran kandungan berbahaya.

"Isnin lepas, kami membentangkan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Parlimen yang dijangka dibahaskan pada 9 Dis ini.

"Pindaan ini memperkenalkan hukuman lebih berat untuk jenayah, seperti eksploitasi kanak-kanak dan penipuan dalam talian," katanya dalam ucapan pada pelancaran pelayan AI terbaharu, NationGate di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri  Liew Chin Tong dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye dan Pengarah Urusan NationGate Holdings Berhad Datuk Ooi Eng Leong.

Selain itu, Teo turut menekankan bahawa kementerian sedang bersedia untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian untuk menangani cabaran mendesak, seperti buli siber dan ancaman dalam talian yang lain.

"Bersama dengan rangka kerja kawal selia untuk perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jan 2025, langkah ini akan memastikan platform, seperti Meta, TikTok, dan X bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan pengguna, melindungi kanak-kanak dan mengehadkan kandungan berbahaya," katanya.

Bagaimanapun, Teo berkata undang-undang sahaja tidak mencukupi, justeru usaha kolektif diperlukan untuk memastikan AI dan Internet menjadi pendorong untuk kebaikan yang memerlukan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab dan beretika oleh kerajaan, syarikat dan individu.

Menyentuh mengenai pelayan AI terbaharu, NationGate, Teo berkata ia langkah penting dalam usaha lebih luas untuk menyumbang kepada ekonomi digital yang kukuh dan memberi impak.

Beliau berkata sejak dua tahun lepas, Johor telah menarik lebih 50 projek pusat data termasuk pelaburan utama daripada ByteDance dan Microsoft.

"Dalam tempoh lima tahun sahaja, kapasiti pusat data Johor meningkat sebanyak 100 kali ganda, menjana lebih 40,000 pekerjaan. Malaysia sememangnya memiliki beberapa kelebihan utama yang meletakkan negara kita di hadapan pesaing serantau dalam menarik pelaburan teknologi," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan