AM

UDA ANTARA SYARIKAT UTAMA PILIHAN GRADUAN

06/12/2024 09:21 AM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti diiktiraf antara syarikat utama pilihan graduan untuk memulakan kerjaya.

UDA yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima Anugerah Majikan Pilihan Graduan untuk Bekerja 2025 daripada Anugerah Pilihan Graduan bagi kategori Pengurusan Fasiliti dalam edisi ketujuh anjuran Talentbank.

Menerusi kenyataan hari ini, UDA memaklumkan undian yang dijalankan kepada lebih 500,000 pelajar universiti dari seluruh Malaysia menyaksikan agensi itu berjaya tersenarai pada kedudukan ketiga teratas bagi kategori berkenaan.

Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA Zahrin Zakaria berkata pencapaian kali kedua itu menjadi bukti UDA antara syarikat pilihan graduan khususnya dalam pengurusan fasiliti, dan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan semua pekerja di semua rangkaian perniagaan seluruh negara.

“Antaranya mempraktikkan waktu bekerja yang fleksibel selain menyediakan faedah yang progresif untuk kebaikan pekerja kami. Ini penting dalam memastikan kecekapan dan keberkesanan pekerja dan pada masa sama menawarkan keseimbangan hidup dan kerja,” katanya.

Zahrin berkata kejayaan itu juga selari dengan komitmen dan hasrat UDA untuk terus kekal lestari dan berdaya saing terutamanya dalam pembangunan hartanah serta pemerkasaan sosioekonomi bumiputera.

“Pengiktirafan terbabit meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan serta rakan strategik dan pelanggan kerana UDA menjadi pillihan bakat baharu selain menunjukkan kestabilan dan kesinambungan agensi itu dalam industri yang disokong oleh tenaga kerja berprestasi tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan