KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Jenama peralatan tidur terkemuka Malaysia, Getha meraih kemenangan buat kali kesembilan di World Branding Awards 2024-2025 sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan syarikat itu sebagai peneraju dalam industri bekenaan.
Acara berpestij yang berlangsung di bangunan bersejarah Tower of London di United Kingdom (UK) pada 25 Nov lepas itu menyaksikan Getha meraih pengiktirafan dalam kategori Perabot - Tilam dan Peralatan Tidur.
Lebih bermakna apabila Getha menjadi satu-satunya jenama Malaysia dalam kategori berkenaan yang menerima Anugerah Peringkat Kebangsaan atau National Tier Award tahun ini.
“National Tier Award hanya diberikan kepada jenama yang membuktikan pencapaian luar biasa di negara asal mereka, menjadi nama yang dipercayai dan sinonim dengan kualiti.
“Bagi memastikan proses pemilihan yang adil dan berintegriti, World Branding Forum telah menjalankan kajian pasaran bebas dan menilai lebih 927 jenama dari 66 negara dengan kurang daripada 100 jenama akhirnya dinobatkan sebagai pemenang,” menurut Getha dalam satu kenyataan.
Berucap pada majlis penganugerahan itu, Pengarah Eksekutif Getha Yong Mei Tsin melahirkan rasa bangga dengan pencapaian syarikat tersebut.
“Anugerah ini mencerminkan komitmen Getha terhadap inovasi, kualiti, dan kelestarian dalam pasaran yang sentiasa berubah. Anugerah ini mengiktiraf kejayaan kami dalam mewujudkan jenama yang kukuh dan kesedaran jenama yang tinggi dalam kalangan pengguna, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya yang hadir bersama Pengurus Projek Kevin Tan.
World Branding Awards merupakan pengiktirafan terhadap jenama dan pemasaran terbaik dunia. Pemenang tahun ini meliputi beberapa jenama antabangsa terkemuka seperti Spotify, BYD, Heinz, dan Yakult manakala jenama Malaysia yang turut merangkul anugerah ialah Petronas, Farm Fresh, Mr. DIY, dan Munchy’s.
Antara jenama ikonik yang pernah memenangi anugerah berkenaan sebelum ini ialah Apple, Coca-Cola, Nike, Maybank, AirAsia, dan Tenaga Nasional.
Dianjurkan oleh World Branding Forum, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan berpangkalan di UK, anugerah itu dianggap sebagai satu penilaian jenama paling komprehensif di dunia.
Dalam pada itu, sejak ditubuhkan pada 1969, Getha telah mengorak langkah dengan menghasilkan produk peralatan tidur berasaskan lateks semula jadi 100 peratus dan sepanjang beberapa dekad syarikat itu membina reputasi memberangsangkan melalui pengeksportan produknya ke lebih 30 negara.
Pencapaian ini didorong oleh kapasiti pengeluaran Getha yang mampu mencecah hingga 121,000 tilam setahun hasil pemprosesan lateks daripada lebih 120 juta pokok getah.
-- BERNAMA