AM

SITUASI BANJIR DI ENAM NEGERI BERANSUR PULIH, JUMLAH MANGSA DI PPS BERKURANGAN

07/12/2024 10:44 AM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di enam negeri menunjukkan perkembangan positif, dengan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini, berkurangan berbanding malam tadi. 

KELANTAN terus mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi setakat ini, namun jumlah itu berkurangan kepada 6,269 orang pagi ini berbanding 7,600 orang malam tadi, dengan 18 PPS masih beroperasi.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tumpat mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,721 orang daripada 1,731 keluarga, diikuti Pasir Mas dengan 526 mangsa (154 keluarga), dan Kuala Krai seramai 22 mangsa (tujuh keluarga).

Sementara itu, Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan hanya Sungai Golok di Tumpat melepasi paras bahaya, dengan bacaan 3.18 meter berbanding 3.0 meter yang ditetapkan.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa banjir pagi ini ialah 1,865 orang daripada 566 keluarga berbanding 2,131 orang daripada 642 keluarga malam tadi. 

Banjir masih melanda dua daerah di Kedah, iaitu Kota Setar dan Kubang Pasu. Di Kota Setar, 1,590 mangsa daripada 486 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS), manakala di Kubang Pasu, seramai 275 mangsa daripada 80 keluarga berada di tiga PPS.

Di JOHOR,  situasi banjir turut menunjukkan perkembangan positif apabila sebuah PPS, iaitu Dewan Serbaguna Kampung Balai Badang di Segamat ditutup malam tadi, menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan daripada 620 orang malam tadi kepada 521 orang pada pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata jumlah mangsa di Segamat ialah 313 mangsa daripada 93 keluarga yang masih ditempatkan di 12 PPS diikuti Tangkak (176 mangsa, 48 keluarga di dua PPS) dan Batu Pahat (32 mangsa, 10 keluarga, sebuah PPS). 

Beliau berkata dua jalan di Segamat masih ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir iaitu Jalan Kuala Paya-Balai Badang dan Jalan Tumang manakala Jalan Serakek di daerah sama dibuka kepada kenderaan berat sahaja. 

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini masih kekal 129 mangsa daripada 43 keluarga yang berada di tiga PPS di daerah Kinta dan Perak Tengah.

Daripada jumlah itu, 95 mangsa daripada 32 keluarga berada di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Tanjung Tualang dam  Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul di daerah Kinta manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota menempatkan 34 mangsa daripada 11 keluarga. 

Sementara itu, Di MELAKA, Sekretariat JPBN memaklumkan seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di daerah Jasin. PPS SK Parit Penghulu menempatkan 103 mangsa daripada 25 keluarga, manakala PPS SK Seri Mendapat menampung 20 mangsa daripada tujuh keluarga.

Di PAHANG, aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri  itu kekal 13 orang daripada empat keluarga yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran pagi ini.

Semakan di publicinfobanjir.water.gov.my mendapati hanya Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran melepasi paras amaran.

-- BERNAMA 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan