AM

BANJIR: LEBIH 1,000 SUKARELAWAN DIGERAKKAN KE TIGA NEGERI - KSN

07/12/2024 04:27 PM

KULIM, 7 Dis (Bernama) -- Lebih 1,000 sukarelawan terdiri penjawat dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam digerakkan ke tiga negeri bagi membantu penduduk terjejas banjir. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kesemua sukarelawan ini dikumpulkan menerusi Skuad Ihsan MADANI dan ia satu daripada strategi pascabanjir yang dilaksanakan kerajaan.

"Kami telah mewujudkan Skuad Insan MADANI. Mereka turun ke enam daerah di Kelantan, dua di Kedah dan Terengganu untuk bantuan pascabanjir," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) dekat sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini terdapat seramai 10,380 mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Sementara itu, Shamsul Azri dalam ucapannya turut mengingatkan penjawat awam di negara ini menghayati dan menerapkan nilai M.A.L.A.Y.S.I.A iaitu Mesra, Adil, Luhur, Amanah, Yakin, Setia, Islah dan Arif dalam melaksanakan tugas masing-masing.

"Fahami nilai asas yang ada pada konsep Malaysia MADANI ... imbangi antara mencari material dan spiritual … dalam masa sama kena tingkatkan produktiviti … bila gaji dinaikkan, kerajaan berharap produktiviti penjawat awam juga meningkat.

"Selain itu, perlu ada keseronokan dalam bekerja, jaga emosi dan tidak membawa masalah di rumah ke tempat kerja … dan apa yang penting ialah penjawat awam perlu bekerjasama sebagai satu pasukan," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan awam diumpamakan seperti 'susu dan nila' iaitu usaha kini lebih tertumpu kepada membersihkan nila dalam susu.

"Kita ada 'susu' yang baik tapi tak boleh jual (jika tercemar nila) ... semua pihak menghentam … kita juga tak boleh bagi perkhidmatan terbaik sebab ada rasa tidak bangga bekerja sebagai penjawat awam.

"Kenapa tak bangga sebab kita sibuk membetulkan ... nak bersihkan 'kekotoran' sedangkan yang buat 'kotor' dalam perkhidmatan awam tak sampai 10 peratus pun … ada 90 peratus lagi (bersih)," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan