SUNGAI SIPUT, 7 Dis (Bernama) -- Keterbatasan capaian jalur lebar di kebanyakan perkampungan Orang Asli antara cabaran penyampaian maklumat berhubung jawatan ditawarkan sektor awam kepada golongan berkenaan.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata hanya terdapat anggaran kurang daripada satu peratus masyarakat Orang Asli di seluruh negara terlibat secara langsung dalam sektor awam.
Beliau berkata peratusan berkenaan amat rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penjawat awam pada ketika ini yang mencecah lebih 1.6 juta.
“Jadi, ini yang kita nampak keperluan untuk memperbanyak penyaluran maklumat melalui penganjuran pelbagai program di kawasan perkampungan mereka. Saya yakin kaedah ini membantu mereka mengetahui lebih lanjut tentang pekerjaan dalam sektor awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Karnival Kerjaya MADANI Orang Asli Perak 2024 di Dewan Pandak Hamid di sini hari ini yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Zolkafly Harun.
Ahmad Jailani berkata pihaknya amat menggalakkan lebih ramai Orang Asli yang menceburkan diri dalam sektor awam kerana ia mampu membantu mereka mengubah kehidupan keluarga daripada dibelenggu kemiskinan.
“Kalau mereka dapat pekerjaan dalam sektor awam, sedikit sebanyak akan mengubah kehidupan keluarga mereka. Ini penting dan kalau kita tak bantu maka mereka akan terus kekal seperti sediakala,” katanya.
Sementara itu, Zolkafly berkata seramai 2,000 pengunjung terdiri dalam kalangan Orang Asli telah menyertai karnival berkenaan yang dianjurkan buat julung kali oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama SPA.
Penganjuran karnival itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan masyarakat Orang Asli, khususnya golongan belia dan beliawanis memperoleh pekerjaan bersesuaian dengan pengalaman.
“Sambutan masyarakat Orang Asli terhadap karnival kerjaya ini sememangnya di luar jangkaan. Pada awalnya, kita hanya sasarkan sekitar 1,200 sahaja yang hadir namun jumlah itu bertambah disebabkan ia turut dihadiri mereka yang datang dari Pahang, Selangor, Kedah, Kelantan dan sebagainya.
“Dengan sambutan luar jangka ini juga, saya fikir karnival ini perlu diteruskan di masa akan datang agar lebih ramai masyarakat Orang Asli dapat dibantu, terus maju dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri dan negara,” katanya.
-- BERNAMA