JOHOR BAHRU, 9 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menikmati santapan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah restoran asam pedas terkenal di sini.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Pasir Pelangi.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, turut berangkat ke sesi menghadap dan santapan tengah hari Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Turut dimuat naik beberapa gambar pertemuan berkenaan.
Sementara itu, Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata beliau menghadap Seri Paduka Baginda bagi menyembah maklum beberapa urusan terkait isu negara.
Perdana Menteri berkata antara perkara yang disembah maklum ialah mengenai usaha kerajaan menangani permasalahan banjir di beberapa negeri selain menyentuh soal pembangunan ekonomi negara dan negeri.
"Usai sesi tersebut, saya mengiringi Baginda Tuanku untuk santapan tengah hari di restoran Asam Pedas Botak di Johor Bahru, sebelum berangkat pulang ke ibu negara," katanya.
-- BERNAMA