EKONOMI

CHINA EV100 ANJUR FORUM EV, GALAKAN KERJASAMA LEBIH BAIK DENGAN MALAYSIA

09/12/2024 10:42 PM

 

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- China EV100, sebuah badan pemikir pihak ketiga, bekerjasama dengan Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (MAYCHAM China), untuk menganjurkan Forum Kenderaan Elektrik (EV) Malaysia-China yang pertama di Malaysia.

Ini bagi mempromosikan kerjasama yang lebih erat dalam industri EV di Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

Dijadualkan berlangsung pada 17-18 Dis 2024, forum itu bertujuan membincangkan penerobosan teknologi EV, pembangunan kawal selia dan infrastruktur, reka bentuk inovasi dan kerjasama serta cabaran kemampanan yang membentuk masa depan mobiliti di seluruh dunia.

Forum ini juga disokong oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Persatuan Kenderaan Sifar Pelepasan Karbon Malaysia (MyZEVA).

 

Memupuk kerjasama, membincangkan potensi kecerdasan buatan (AI) 

Setiausaha Agung China EV100 Zhang Yongwei berkata dengan komitmen terhadap penyelidikan dan pertukaran, forum itu penting untuk memajukan dasar Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dan dialog industri.

Beliau berkata ia akan membantu memudahkan evolusi industri automotif yang lancar dan kolaboratif, sejajar dengan transformasi dalam tenaga, infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengangkutan dan pembangunan bandar pintar.

Zhang juga berkata AI mempunyai potensi untuk mentakrifkan semula industri automotif dengan dua ciri utama; pemanduan pintar, yang memfokuskan kepada teknologi autonomi, dan kedua, kenderaan yang diperkaya dengan AI, dipacu oleh keupayaan AI yang menyepadukan hiburan, perancangan perjalanan dan ciri-ciri yang meningkatkan kehidupan ke dalam kereta.

"Kami menjangkakan permintaan pengguna untuk 'keterujaan' dalam kereta itu akan memacu inovasi dan kelebihan daya saing," katanya.

Beliau berkata AI akan mempromosikan lebih banyak teknologi model berskala besar dan teknologi interaktif, seperti interaksi suara, interaksi bunyi dan cahaya, menyediakan pembantu dan perkhidmatan untuk kerja dan kehidupan dalam kereta, serta mengembangkan pelbagai perkhidmatan dalam kereta.

Apabila AI berkembang, persaingan dalam industri automotif akan beralih daripada persaingan berasaskan produk kepada persaingan merentas rantaian industri, menempatkan ke bawah ekosistem automotif tradisional berbanding dengan kemunculan ekosistem automotif yang dipacu AI.

"Syarikat peneraju akan membina ekosistem automotif mereka, manakala negara pengeluar automotif utama akan membangunkan ekosistem negara berdasarkan kekuatan daya saing mereka.

“Kerjasama rentas sempadan ini akan membentuk semula landskap kompetitif masa depan industri automotif,” katanya.

 

Prospek untuk pasaran EV global

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Forum 2024 China EV100 dan McKinsey & Company, dijangkakan kadar penembusan global kenderaan penumpang tenaga baharu akan mencapai 50 peratus pada 2030, dengan jualan tahunan melebihi 39 juta unit.

Jumlah pasaran kenderaan penumpang dijangka melepasi 80 juta unit, dengan pemilikan NEV berpotensi mencecah 240 juta unit.

Zhang berkata China dan pasaran baru muncul telah menjadi rantau yang paling pesat berkembang untuk NEV di dunia, dengan China sudah melebihi kadar penembusan sebanyak 50 peratus.

“Sebaliknya, kadar elektrifikasi di Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) semakin perlahan, terutamanya disebabkan oleh faktor-faktor seperti kos, keselamatan kuasa, kematangan pasaran dan isu-isu tenaga,” katanya.

Sementara itu, landskap industri elektrifikasi global dan hala tuju inovasi teknologi semakin ketara; rantaian bekalan industri bateri tertumpu terutamanya di China, AS dan Eropah, dengan China menghasilkan majoriti kapasiti pengeluaran bateri.

Teknologi bateri semasa tertumpu kepada litium terner dan litium ferro fosfat, dengan bateri dalam keadaan pepejal muncul sebagai kemajuan yang seterusnya.

Prestasi korporat juga mencerminkan transformasi struktur industri automotif.

“Walaupun pembuat kereta gergasi tradisional kekal menguntungkan, tetapi keuntungan mereka menyusut dengan cepat.

"Bagaimanapun, syarikat NEV seperti BYD, Tesla dan Li Auto mencatat keuntungan, menunjukkan transformasi struktur industri automotif," kata Zhang.

Di peringkat global, beliau berkata penggunaan NEV telah menunjukkan perkembangan yang jelas. China mendahului dengan pilihan pengguna beralih kepada keperluan pintar dan yang diperibadikan.

Bagaimanapun, pengguna-pengguna di Eropah dan Amerika tetap prihatin dengan jarak pemanduan serta kemudahan untuk mengecas.

 

Peluang untuk Malaysia 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, Richard Teo berkata forum itu penting bagi kedua-dua negara untuk bertukar-tukar kepakaran dan mengukuhkan kerjasama dalam teknologi, dasar dan inovasi EV.

Ia menyediakan peluang dan platform kepada syarikat-syarikat Malaysia dan China untuk meneroka perkongsian baharu dalam sektor EV, yang selaras dengan visi Malaysia untuk memajukan industri automotifnya dan meletakkan dirinya sebagai hab EV.

Forum China EV100 telah diadakan setiap tahun sejak 2015. Forum yang diadakan julung kalinya di Malaysia bertemakan "Shaping Tomorrow: Design, Innovation and Policy in Electric Vehicles".

“Sebagai rakan kongsi utama untuk forum ini, China EV100 memasukkan kepakaran penting dan perspektif global dalam perbincangan, mencerminkan komitmennya untuk menyokong pertumbuhan serantau dalam sektor EV.

"Yang penting, forum ini adalah tempat untuk kerajaan, pemimpin industri dan inovator berbincang walaupun mengenai topik yang paling sukar seperti hala tuju teknologi dan sokongan dasar serta menyelaraskan strategi bagi pertumbuhan NEV," kata Richard.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan