AM

GUA MUSANG, KUALA KRAI DAN TANAH MERAH MULA DINAIKI AIR

10/12/2024 12:39 PM

KOTA BHARU, 10 Dis (Bernama) -- Tiga jajahan di Kelantan iaitu Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah mula dinaiki air hari ini berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Di Gua Musang, seramai 1,650 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil terputus hubungan ekoran jambatan penghubung sepanjang kira-kira 60 meter tenggelam akibat limpahan Sungai Chalil.

Penduduk, Husin Muhamad, 45, berkata kejadian itu mengakibatkan mereka tidak dapat melakukan urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah yang terletak di seberang jambatan.

Penghulu Mukim Kampung Chenulang di Kuala Krai, Ab Aziz Isa berkata walaupun air mula naik di beberapa kawasan seperti Kampung Kebun Pisang, Kampung Pasir Jering dan Kampung Dusun Ban, tiada penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

"Alhamdulillah, keadaan masih terkawal dan saya akan terus memantau keadaan penduduk di kampung ini, sekiranya situasi semakin teruk saya akan mengarahkan mereka segera untuk berpindah ke PPS," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Tanah Merah pula mendapati beberapa kampung di kawasan rendah seperti Kampung Murin, Bukit Kechik dan Kampung Lawang turut dinaiki air kira-kira 2 pagi tadi. 

Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Aring di Gua Musang melepasi paras bahaya dengan bacaan 76.32 meter (m) manakala Sungai Golok di Tanah Merah berada pada paras amaran iaitu 23.07m setakat 11 pagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan hingga 16 Dis ini dan berpotensi menyebabkan hujan di timur dan utara Semenanjung serta Sabah selain angin kencang serta laut bergelora di Laut China Selatan.

Amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) melibatkan timur dan utara Semenanjung berkuat kuasa hingga esok (11 Dis).   

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan