AM

KPWKM TELITI KESESUAIAN UNDANG-UNDANG BERKAIT WARGA EMAS - NANCY

10/12/2024 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti kesesuaian untuk mewujudkan undang-undang yang menjamin kebajikan dan perlindungan warga emas.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata undang-undang itu perlu dipersetujui bersama iaitu sama ada masyarakat mahukan tindakan punitif (mengenakan hukuman) kepada anak-anak bagi memastikan mereka menunaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa masing-masing, seperti mana dilakukan oleh Singapura.

"Selain itu, kita juga perlu memastikan adakah semaian dan penerapan nilai murni, kebertanggungjawaban dan sebagainya diperlukan untuk melahirkan institusi keluarga yang utuh dan generasi yang tidak perlu dikongkong dengan paksaan undang-undang.

"Ini adalah antara penelitian yang dibuat untuk menilai penggubalan satu akta yang baharu atau sama ada perlu kita membuat penambahbaikan melalui pindaan kepada akta-akta sedia ada yang bersesuaian," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Che Alias Hamid yang ingin tahu status terkini Akta Warga Emas yang sepatutnya dibentang pada tahun ini tetapi tertangguh.

Che Alias berkata Akta Warga Emas itu penting sebagai persediaan Malaysia menuju ke arah negara tua pada 2030 yang harus diberikan keutamaan.

Menjawab soalan asal Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang ingin tahu pelan jangka panjang untuk menangani isu warga emas yang terabai dan menderita, Nancy berkata kementerian telah mengadakan pelbagai program termasuk Cinta Minda Intergenerasi.

Program ini, beliau berkata merupakan aktiviti tetap yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri (JPWEN) sejak 2018, bertujuan memberi kesedaran dan merapatkan jurang antara golongan muda dan warga emas di samping membudayakan sikap saling menghormati dan menghargai antara generasi.

"Pada masa yang sama, Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara juga akan terus membuat syor dan menasihati kerajaan mengenai isu warga emas termasuklah memperkasakan hak golongan itu dan pembangunan infra yang mesra warga emas. Semua pihak boleh menyumbang pandangan dan cadangan demi kesejahteraan warga emas," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan