KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pemegang saham Sabah Electricity perlu memainkan peranan strategik dalam memastikan syarikat utiliti itu terus mampan dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya untuk meningkatkan daya harap bekalan elektrik.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan Persekutuan seharusnya tidak dipersalahkan dan bertanggungjawab ke atas sebarang risiko dan liabiliti berkaitan operasi kawal selia bekalan elektrik di Sabah selepas tarikh penyerahan kuasa kawal selia pada 3 Januari 2024.
"Kerajaan Persekutuan akan sentiasa mengambil sikap toleransi dan berhemah dalam setiap perkara berkaitan isu elektrik di Sabah.
"Namun demikian, sesuai dengan hasrat kerajaan negeri Sabah untuk mendapatkan kuasa kawal selia bekalan elektrik, adalah menjadi tanggungjawab penuh kerajaan negeri untuk merancang hala tuju industri elektrik Sabah dengan sebaiknya," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Tan Sri Anifah Aman yang menanyakan sama ada kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi elektrik kepada Sabah kerana pembekal utiliti Sabah Electricity akan menghadapi masalah kewangan tanpa subsidi elektrik.
Menurut Amir Hamzah, kerajaan Persekutuan mengambil maklum kedudukan kewangan meruncing yang sedang dihadapi oleh Sabah Electricity.
"Kementerian Kewangan (MoF) bersama Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) sedang meneliti dan menimbang permohonan bayaran Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) (Jun – Disember 2023) berjumlah RM162 juta.
"Dalam masa sama, MoF turut sedang menimbang untuk memberikan moratorium bayaran balik pinjaman Sabah Electricity kepada Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan sekitar RM65 juta," katanya.
-- BERNAMA