KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, hari ini berkenan melancarkan buku yang memaparkan sejarah dan pencapaian Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk peranan serta kejayaan pasukan itu dalam mengekalkan keamanan negara.
Buku bertajuk 'PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara" itu, merupakan hasil tulisan Prof Dr Mohamad Thariq Hameed Sultan dan Shafie Abdul Rahman.
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Khas Buku Negara kepada tujuh penerima.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata buku tersebut menghargai perjalanan PDRM selama lebih dua abad sebagai penjaga keamanan negara yang berkhidmat dengan penuh dedikasi, tanpa mengenal lelah dan mengetepikan kepentingan peribadi.
"Buku ini turut mengetengahkan cabaran, pengorbanan serta kisah-kisah heroik warga PDRM dalam mempertahankan tanah air," katanya ketika berucap pada Pelancaran Buku Mewah (Coffee Table book) PDRM sempena Program Siri Jelajah Galakan Masyarakat Membaca di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan barisan kepimpinan tertinggi PDRM.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata buku tersebut diterbitkan dengan gabungan kompilasi bergambar yang disertakan dengan huraian ringkas mengenai pelbagai maklumat tentang PDRM.
“Inisiatif penghasilan buku ini bukan sahaja menjadi sumber rujukan yang menyebarkan informasi berguna, malah mampu menginspirasi masyarakat untuk lebih peka serta meningkatkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada tanah air,” katanya.
Sementara itu, penulis buku terbabit Mohamad Thariq berkata cabaran dalam menghasilkan buku tersebut lebih kepada mendapatkan fakta yang betul namun pihaknya mendapat kerjasama dan sokongan daripada PDRM.
Katanya proses menghasilkan buku tersebut mengambil masa setahun sebelum akhirnya dilancarkan untuk menjadi bahan bacaan utama kepada masyarakat.
"Buku ini akan diedarkan secara percuma, dengan 30,000 hingga 40,000 naskah diterbitkan untuk diagihkan ke sekolah dan universiti," katanya.
-- BERNAMA