KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Juwai IQI telah menjangkakan pembelian rumah asing di Malaysia akan meningkat tahun depan walaupun pada kadar yang mampan tidak lebih daripada lima peratus.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata warga asing pemegang visa pelaburan Malaysia akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM166 juta lagi di negara ini pada 2025 seterusnya menyumbang kepada ekonomi.
"Kumpulan pembeli utama mungkin kekal tidak berubah..China mendahului senarai pembelian asing itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata Malaysia telah mengatasi prestasi dalam dua bidang utama terutamanya disebabkan pasaran hartanah stabil dan keperluan visa menarik untuk ahli perniagaan, "nomad digital" dan golongan pesara yang kaya.
Nomad digital adalah golongan profesional bergerak dari satu negara ke negara lain, tetapi pada masa sama mengekalkan perniagaan dalam talian, membolehkan mereka menjalankan urusan dan menyiapkan kerja secara jauh
"Bagi 2024, kami menggunakan anggaran konservatif sebanyak 700 kelulusan untuk Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)
“Kami menganggap setiap pemohon yang berjaya akan menjadi penduduk tetap pada tahun kelulusan diberikan, selain itu kami mengunjurkan perbelanjaan tahunan bagi setiap orang berjumlah RM134,000 (USD$30,000) berdasarkan penyelidikan dilakukan di luar Amerika Syarikat mengenai purata perbelanjaan nomad digital dalam komuniti mereka menetap," katanya.
Justeru, Juwai IQI percaya pelaburan hartanah dilakukan oleh warga asing di negara ini berkemungkinan meningkat pada 2025.
-- BERNAMA