KLANG, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan Selangor menerima dengan hati terbuka teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini yang menzahirkan keprihatinan berhubung tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang serta situasi banjir kilat di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas sebagai komitmen kerajaan negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan usaha pelan mitigasi banjir bagi mengelakkan kelewatan proses tersebut akibat budaya bekerja secara silo di peringkat agensi.
“Sehingga kini, kerajaan Tuanku telah menubuhkan 'taskforce' bersama agensi Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan supaya pelan dan usaha mitigasi kejadian banjir dilihat dalam konteks menyeluruh.
“Malah, baru-baru ini patik turut menekankan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahawa kita tidak boleh melengahkan masa dalam menggerakkan usaha mitigasi banjir sama ada dalam bentuk projek mendalamkan sungai ataupun pelebaran saliran, kolam takungan dwifungsi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan taat setia pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-79 Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.
Sebelum ini, Sultan Selangor semasa bertitah pada majlis perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Klang menzahirkan kekesalan dan dukacita dengan tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang kerana terdapat banyak kawasan yang masih kotor dan tidak teratur termasuk sungai yang dicemari teruk dengan sampah sarap.
Baginda bertitah sudah berkali-kali menegur serta menasihati pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk mengambil langkah efektif serta perancangan rapi dalam mengatasi masalah banjir di bandar raya itu dan beberapa daerah lain di Selangor namun hingga kini banjir tetap berlaku berulang kali setiap tahun.
Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklum sekurang-kurangnya RM1.774 bilion telah diperuntukkan untuk usaha berkenaan dengan RM574.5 juta digunakan di daerah Klang manakala RM1.2 bilion bagi daerah Petaling.
Beliau berkata kerajaan negeri juga dalam usaha menggerakkan Skim Jaminan Air Mentah yang membolehkan loji rawatan air terus menyalurkan air mentah daripada Sistem Takungan Air Mentah Hiliran Sungai (HORAS) sementara sebagai antara usaha menangani insiden pencemaran air mentah di sungai.
“Dengan kos RM320 juta ini, patik dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa hingga kini dua daripada empat pakej utama telah siap sepenuhnya manakala dua kerja-kerja pelencongan sungai di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, serta 3 akan siap sepenuhnya pada bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata setakat Isnin lepas (9 Dis) Selangor telah mencatat kutipan hasil berjumlah RM2.593 bilion iaitu 118 peratus berbanding sasaran kutipan hasil 2024 berjumlah RM2.2 bilion.
Beliau berkata kerajaan negeri juga dalam proses akhir untuk melancarkan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, Sepang susulan kejayaan IC Design Park pertama di Puchong.
“Inisiatif ini terhasil daripada kerjasama utuh dan kesefahaman erat antara kerajaan Tuanku dan kerajaan Persekutuan yang ingin meningkatkan nilai ekonomi dan peluang pekerjaan bergaji tinggi di Selangor bagi mencapai nilai eksport lebih RM100 bilion dalam industri ini menjelang 2030,” katanya.
Amirudin memaklumkan kerajaan negeri akan melancarkan Dasar 'Speed' Selangor pada April 2025 yang akan memberikan tumpuan kepada industri baharu antaranya kecerdasan buatan (AI) dan industri sokongan, semikonduktor termasuk elektrik dan elektronik serta aeroangkasa dan bidang pembuatan berteknologi tinggi.
Dalam pada itu, Amirudin yang mewakili Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Selangor turut menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Sultan Selangor dan institusi Raja Melayu.
“(Patik) bertekad untuk terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang Undang Tubuh Negeri Selangor, hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian Islam,” katanya.
-- BERNAMA