AM

BANGUNAN BAHARU MOM DI BUKIT JALIL DIHARAP JADI MOTIVASI TINGKAT PRESTASI ATLET - AHMAD ZAHID

11/12/2024 11:38 PM


From Rozainah Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap bangunan baharu yang akan dibina di Bukit Jalil dan bakal menempatkan ibu pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), akan memberi motivasi baharu dalam meningkatkan prestasi atlet negara.

Beliau berkata pembinaan bangunan baharu itu telah dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, bagi pihak kerajaan.

"Saya harapkan bangunan baharu ini akan memberikan motivasi baharu bagi MOM, untuk membawa atlet-atlet kita menghadapi sukan Olimpik dan sukan-sukan di peringkat serantau ini, dengan sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam Olimpik akan datang," kata beliau dalam ucapan pada Majlis Malam Anugerah MOM ke-27 di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata beliau yang diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, amat berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Menteri Belia dan Sukan dan Ketua Setiausaha kementerian itu yang telah melakukan segala usaha dengan baik.

Beliau berkata pembangunan atlet perlu dilihat secara holistik, yang bukan sekadar menghasilkan atlet untuk mengejar kemenangan di gelanggang, tetapi juga menjadi simbol inspirasi kepada generasi muda dan ikon nilai-nilai murni.

"Pembangunan akar umbi atau grassroot development menjadi tunjang kepada kesinambungan bakat sukan negara.

"Melalui pelaburan dalam latihan dan program sejak usia muda, kita bukan hanya melahirkan juara dunia tetapi individu berkualiti yang berdaya tahan dan berakhlak mulia," kata beliau.

Ahmad Zahid turut menyeru supaya koordinasi dan penyelarasan untuk pembangunan sukan diwajibkan, dalam usaha mengangkat martabat sukan negara.

Sementara itu, Presiden MOM Tan Sri Norza Zakaria mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kelulusan pembelian sebidang tanah di Bukit Jalil, bagi pembinaan ibu pejabat baharu persatuan sukan itu yang terletak di hadapan Stadium Hoki.

"Dengan lokasi Sports City di Bukit Jalil, MOM akan membina ibu pejabat baharu berkonsepkan bangunan hijau yang mesra alam dan jimat tenaga, seiring hasrat kami menerapkan kaedah tadbir urus dan tatakelola yang moden," katanya.

Norza berkata ibu pejabat yang dikenali Olympic House Malaysia itu berinspirasikan ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Lausanne, Switzerland, diiktiraf sebagai antara binaan mesra alam yang menerima persijilan bangunan mampan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan