KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) mencatat keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM303.54 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober, 2024, kenaikan 60.3 peratus berbanding RM189.32 juta setahun lepas disebabkan keuntungan margin keuntungan lebih tinggi.
Hasil berada pada RM2.26 bilion, lebih tinggi daripada RM2.23 bilion dicatatkan sebelumnya kerana sumbangan lebih tinggi daripada fasa aktif dan fasa baharu dilancarkan dalam tempoh tersebut.
EcoWorld Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata operasi Malaysia menrekodkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 20.5 peratus kepada RM343.1 juta pada tahun kewangan 2024 terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam margin keuntungan kasar dicatatkan oleh anak syarikat kumpulan itu.
Bagi suku keempat 2024, keuntungan bersih melonjak kepada RM83.42 juta daripada RM3.29 pada suku sama tahun lepas susulan hasil lebih rendah sebanyak RM638.45 juta daripada RM844.46 juta sebelumnya.
Hasil lebih rendah itu adalah disebabkan oleh penjualan sebidang tanah perindustrian seluas 37.23 hektar di Eco Business Park II yang telah dimasukkan dalam suku keempat 2023 apabila ia siap.
Sementara itu, syarikat itu dalam kenyataan berasingan berkata ia mencatat jualan RM4.07 bilion pada tahun kewangan 2024, juga rekod tertinggi bagi kumpulan itu, jumlah tersebut melebihi sasaran jualan RM3.5 bilion sebanyak 16 peratus.
"Jualan dicapai, keuntungan yang bertambah baik dan peningkatan kematangan projek kami telah menjana aliran tunai bersih yang tinggi daripada aktiviti operasi sebanyak RM890 juta pada tahun kewangan 2024," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chang Khim Wah.
Beliau berkata pada tahun kewangan 2024, projek di Iskandar Malaysia menyumbang 57 peratus (RM2.33 bilion) daripada jualan kumpulan itu diikuti 31 peratus (RM1.27 bilion) dari Lembah Klang dan 12 peratus (RM470 juta) dari Pulau Pinang.
Kediaman bertanah di bawah Eco Townships merangkumi 30 peratus daripada jumlah jualan dengan RM1.22 bilion direkodkan.
Selain itu, jualan di bawah Eco Rise merekodkan pertumbuhan tertinggi pada tahun kewangan 2024 dengan RM1.08 bilion dicapai, lebih dua kali ganda daripada RM509 juta dicatatkan pada tahun kewangan 2023.
Bahagian komersial Eco Hubs pula menyumbang RM656 juta dalam jualan untuk tahun kewangan 2024, 27 peratus lebih tinggi daripada tahun kewangan 2023.
Berikutan prestasi itu, kumpulan itu telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak dua sen sesaham, menjadikan jumlah dividen diisytiharkan untuk tahun kewangan 2024 kepada enam sen sesaham.
-- BERNAMA