AM

INISIATIF PENGHANTARAN HIJAU TINGKAT POTENSI LOGISTIK DI LEMBAH KLANG - LOKE

12/12/2024 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) – Sebagai langkah memperkukuh perkhidmatan logistik dan menyokong peralihan hijau, satu projek rintis menggunakan perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) untuk penghantaran kargo telah dilancarkan di Lembah Klang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu adalah pertama seumpamanya di rantau Asia dan dilaksanakan oleh Diolko, syarikat peneraju penghantaran perbatuan akhir yang mampan, dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dari Julai lepas hingga Januari tahun depan.

Beliau berkata projek itu juga adalah langkah strategik dalam memenuhi keperluan perkhidmatan logistik yang lebih mampan dan efisien selaras dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus negara. 

"Saya sangat gembira kerana kami memanfaatkan sistem rel bandar ini terutama LRT untuk penghantaran barangan, satu inisiatif yang saya telah bincangkan sejak beberapa waktu lalu dan kini ia mula menjadi kenyataan.

"Saya yakin projek ini bakal menarik minat syarikat multinasional dan penyedia perkhidmatan logistik alternatif," katanya pada sidang media selepas melawat hab Diolko di Stesen LRT Putra Height di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Diolko Yoann Gueguen. 

Loke berkata meskipun pengangkutan adalah antara penyumbang tertinggi kepada pelepasan karbon, ia juga diperlukan dalam kehidupan seharian, justeru teknologi yang ditawarkan Diolko mampu mentransformasi sektor pengangkutan menjadi lebih mampan selain menggalakkan  inovasi melalui kerjasama sektor awam dan swasta.

Beliau berkata tempoh percubaan projek itu membuktikan bahawa konsep penghantaran melalui LRT boleh dilaksana dan berpotensi besar untuk berkembang selain menggunakan infrastruktur bandar sedia ada untuk memberikan perkhidmatan yang cekap serta mesra alam bagi menangani masalah kesesakan trafik dan pelepasan karbon.

Gueguen pula berkata ketika ini, Diolko beroperasi pada kapasiti 2,500 bungkusan sebulan dan merancang mengendalikan hingga 75,000 bungkusan sebulan dalam tempoh enam bulan.

"Perjalanan kami bermula di Lembah Klang dengan memanfaatkan infrastruktur pengangkutan awam yang mantap di kawasan ini untuk membangunkan penyelesaian penghantaran perbatuan akhir yang cekap dan mampan. 

"Kami berbangga dengan kemajuan ketara yang dicapai, membantu pelanggan kami mengurangkan kadar pelepasan karbon secara kolektif sebanyak 70 peratus di samping mengurangkan kesesakan trafik di bandar," katanya.

Gueguen juga berkata projek itu menunjukkan komitmen Diolko untuk merevolusi sistem logistik bandar dengan menyepadukan sistem landasan Rapid KL di stesen utama merangkumi Stesen Putra Heights (LRT Laluan Sri Petaling), Ara Damansara (LRT Laluan Kelana Jaya) dan Awan Besar (Laluan Sri Petaling).

"Penyepaduan teknologi hab maya dan kenderaan elektrik membolehkan pengendalian jumlah barangan yang besar, mengurangkan jejak karbon pengguna serta memenuhi sasaran kemampanan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga berhasrat mengembangkan model inovatif itu ke bandar lain di Malaysia dan serata ASEAN termasuk melihat kemungkinan meluaskan penghantaran merentasi sempadan seperti penghubung sistem Aliran Transit Johor Bahru dan Singapura yang pastinya akan menarik lebih banyak peluang perniagaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan