AM

KUALA KRAI, TANAH MERAH DILANDA BANJIR

29/12/2024 03:22 PM

KOTA BHARU, 29 Dis (Bernama) -- Beberapa kampung di daerah Kuala Krai dan Tanah Merah dilanda banjir sejak 12 tengah hari tadi setelah hujan lebat pada sebelah malam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai Kapten (PA) Abd Fatah Abd Aziz berkata tiga kampung dikenal pasti terjejas banjir di Kuala Krai, iaitu Kampung Bedal, Kampung Chenulang dan Kampung Tanjung Kala.

"Setakat 1 tengah hari, air separas 1.5 meter (m) hingga 2 m naik ke kawasan kampung yang berlembah dan menjejaskan laluan jalan utama dengan arus deras, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai sudah melakukan pemantauan di kawasan hotspot banjir," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pihak berkaitan sedang bersiap sedia untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah mengesahkan kejadian banjir di daerah itu antaranya di Kampung Batu Gajah. 

Tinjauan Bernama mendapati antara kampung yang terjejas banjir di daerah Tanah Merah ialah Kampung Batu Sembilan, Kampung Batang Merbau dan Kampung Lawang.

Beberapa jalan di kawasan rendah juga ditenggelami air antaranya Kampung Kelewek, Kampung Bendang Nyior dan Kampung Batu Lapan. 

Khamis lepas, media melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula semalam.

Menurut JPS, jajahan yang dijangka terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan