KUALA TERENGGANU, 29 Dis (Bernama) -- Beberapa kawasan di daerah Kemaman dijangka dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan yang diramal bermula hari ini hingga 31 Dis nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Hanafiah Mat berkata kawasan yang dijangka terjejas akibat hujan tahap buruk itu ialah Kampung Teladas, Kampung Air Putih, Kampung Dadong, Kampung Tebak Batu 16 dan Jambatan Air putih.
"Kawasan yang diramalkan terjejas ialah kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Tebak.
"Justeru, penduduk di kawasan terlibat diminta supaya berjaga-jaga dan peka dengan situasi semasa serta arahan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, berdasarkan semakan di portal Public InfoBanjir setakat 2 petang tadi, paras air di dua stesen iaitu Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1), Hulu Terengganu dan Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut telah melepasi paras bahaya.
Manakala paras air tiga lagi stesen iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong dan Sungai Telemong di Kuala Ping (F1), Hulu Terengganu serta Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu pula telah melebihi paras amaran.
-- BERNAMA