AM

PERMUKIMAN ADMM PERKUKUH KOMITMEN PASTIKAN KEAMANAN, KESTABILAN SERANTAU BERTERUSAN

27/02/2025 11:39 AM

GEORGE TOWN, 27 Feb (Bernama) -- Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang melabuhkan tirainya hari ini memperlihatkan komitmen blok berkenaan untuk mengemudi landskap geopolitik secara bersama bagi memastikan keamanan dan kestabilan berterusan di rantau ini.

Permukiman yang menghimpunkan menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN, serta Menteri Pertahanan Timor-Leste Donaciano Rosario Costa Gomes yang hadir sebagai Pemerhati ASEAN itu juga mengukuhkan solidariti ASEAN dalam menangani ancaman keselamatan baharu.

Selaku Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus tahun ini, Malaysia juga memperkenalkan tema ‘Kesepaduan ASEAN Demi Keselamatan dan Kemakmuran’ yang melambangkan keselamatan sebagai asas pertumbuhan ekonomi, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, permukiman ADMM bersetuju untuk mengangkat lima perkara utama ke ADMM dan Mesyuarat Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM) pada September dan November ini, antaranya mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan negara ASEAN dalam menghadapi ancaman keselamatan siber.

Selain itu, penerokaan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertahanan dan memperkukuh penyelarasan serta kerjasama awam tentera dalam pengurusan bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) juga akan dibawa ke mesyuarat tertinggi berkenaan.

Turut dipersetujui untuk diangkat ke mesyuarat ADMM dan ADSOM kelak iaitu menambah baik kerjasama industri pertahanan dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi memacu inovasi teknologi dan pembangunan kapasiti serantau serta mendukung kebersamaan dan memperkukuh Kepusatan ASEAN dalam menangani cabaran keselamatan serantau.

Pada hari pertama permukiman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan ll Brunei Pehin Datu Lailaraja Mej Jen (B) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof, Menteri Pertahanan Timor-Leste Donaciano Rosario Costa Gomes dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Datuk Astanah Abdul Aziz.

Pada hari kedua pula, Mohamed Khaled menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin; Khamlieng Outhakaisone (Laos); Dr Eng Ng Hen (Singapura); Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Thailand Phumtham Wechayachai serta Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kemboja Tea Seiha.

Selain itu, beliau turut menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pertahanan Vietnam Nguyen Tan Cuong dan Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto C.Teodoro.

Kesemua pertemuan dan kunjungan hormat berkenaan membincangkan usaha bersama dalam mendepani cabaran keselamatan serantau sekali gus memperkukuh kerjasama pertahanan untuk menangani ancaman keselamatan baharu seperti keselamatan siber serta bencana alam.

Sesi Permukiman ADMM kali ini juga menjadi platform pertama bagi Sjafrie dan Khamliang Outhakaysone untuk bertukar pandangan dengan rakan sejawat mereka mengenai cabaran keselamatan serantau.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan memaklumkan pihaknya berusaha untuk memperkasakan nama Malaysia sebagai pemimpin dalam diplomasi global dengan menonjolkan keupayaan negara menjadi jambatan penghubung antara ASEAN dan kuasa besar dunia.

Matlamat utama Kementerian Pertahanan adalah untuk melihat ASEAN berkembang sebagai sebuah blok yang bukan sahaja selamat tetapi juga sejahtera dan mampan demi memastikan kemakmuran serta kestabilan bagi generasi akan datang.

Bagi menjayakan permukiman berkenaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah meningkatkan tahap kawalan dan kesiagaan dalam tahap yang tinggi termasuk mengetatkan kawalan keselamatan serta pemantauan berterusan sepanjang permukiman.

Lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN, menghadiri permukiman yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".

 Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini, menjadikannya antara kepengerusian paling aktif sejak negara ini memegang peranan yang sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan