KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun pada Januari 2025 dan meneruskan peningkatan 0.5 peratus dicatatkan pada Disember 2024.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini berkata peningkatan itu didorong terutamanya oleh sektor pertanian, perhutanan dan perikanan manakala sektor perlombongan dan pembuatan terus mencatat penurunan marginal.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatat peningkatan 16.5 peratus tahun ke tahun pada Januari 2025 berbanding 23.8 peratus pada Disember 2024.
“Indeks penanaman tanaman kekal sebagai penyumbang utama dengan peningkatan sebanyak 29.4 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, sektor perlombongan meneruskan trend penurunan dengan penguncupan 1.3 peratus (Disember 2024: -7.0 peratus ) susulan pengekstrakan petroleum mentah dan pengekstrakan gas asli yang lebih rendah.
Mohd Uzir berkata sektor pembuatan turut mencatat penurunan sebanyak 0.6 peratus, penyusutan lebih kecil berbanding penurunan 1.0 peratus pada bulan sebelumnya.
“Pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan mencatatkan peningkatan 0.3 peratus pada Januari 2025 yang lebih perlahan berbanding 0.8 peratus pada Disember 2024,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, beliau berkata indeks bahan mentah untuk proses selanjutnya mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 2.4 peratus berbanding 1.9 peratus pada Disember 2024.
“Peningkatan ini didorong oleh indeks bahan bukan makanan yang meningkat 3.1 peratus,” katanya.
Menurut jabatan itu, perbandingan dengan negara terpilih menunjukkan IHPR Amerika Syarikat meningkat 3.5 peratus, IHPR Jepun naik 4.2 peratus, United Kingdom meningkat perlahan 0.3 peratus manakala IHPR China terus susut pada 2.3 peratus.
-- BERNAMA