PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengimport dan mengedarkan 661,761 biji kelapa yang bersamaan 661 tan metrik dengan nilai keseluruhan RM1.45 juta, bagi memastikan bekalan kelapa mencukupi di pasaran tempatan.
KPKM dalam kenyataan memaklumkan bekalan kelapa berkenaan telah ditempatkan di pusat pengedaran utama seperti Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Dengkil, Selangor, Pusat Operasi FAMA Senawang, Negeri Sembilan dan Pusat Operasi FAMA Simpang Pulai, Perak.
Menurut KPKM bekalan ini kemudian akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi menjamin ketersediaan bekalan di pasaran.
“Usaha ini akan diteruskan sehingga bekalan kelapa dalam negara kembali stabil. Antara negara yang mengeksport kelapa tua ke Malaysia ialah Indonesia, Thailand dan Sri Lanka,” menurut kenyataan itu hari ini.
KPKM memaklumkan bagi langkah jangka panjang, Jabatan Pertanian (DOA) telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk program penanaman semula dan penanaman baharu kelapa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menurut KPKM ini melibatkan penghasilan pelbagai anak benih kelapa daripada varieti berproduktiviti tinggi seperti kelapa MATAG, Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD).
KPKM turut memaklumkan bahawa kawasan tanah yang dikenal pasti dengan kerjasama kerajaan negeri akan digunakan untuk penanaman kelapa bagi meningkatkan pengeluaran domestik, dengan usaha ini melibatkan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Sejak 2016, LPP telah melaksanakan 43 projek penanaman kelapa di seluruh negara dengan keluasan keseluruhan 643.42 hektar melibatkan 123,426 pokok kelapa,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA