PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Perbuatan membuka aib pasangan di khalayak ramai terutama di media sosial bukan sahaja menjejaskan maruah diri dan keluarga, tetapi bertentangan dengan ajaran Islam serta nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata dalam dunia serba canggih hari ini, media sosial sering digunakan untuk meluahkan perasaan dan berkongsi kisah hidup.
"Bukan semua perkara perlu dipertontonkan di media sosial," katanya kepada Bernama berhubung video tular seorang pempengaruh mencabar suaminya untuk minum susu badan dengan menawarkan sejumlah wang.
Mohd Na'im berkata membuka aib pasangan di media sosial bukan penyelesaian, begitu juga dengan trend mencabar suami kerana ia boleh membawa kepada fitnah, kebencian dan perpecahan dalam keluarga serta masyarakat.
"Lebih membimbangkan, ia boleh menjadi sebab hilangnya keberkatan dalam rumah tangga dan mencetuskan mudarat lebih besar, termasuk kes perceraian tidak terkawal," katanya.
Beliau berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan penerangan berkaitan isu berkenaan dalam Bayan Linnas Siri 308 yang menyatakan Jabatan Mufti Mesir selari dengan pandangan Mazhab Hanafi bahawa hukum suami meminum susu isteri adalah haram berdasarkan hujah susu adalah sebahagian anggota manusia.
"Bahagian anggota manusia tidak boleh dimanfaatkan melainkan untuk keperluan darurat. Oleh itu, dapat difahami meskipun tidak berlaku pensabitan mahram, perbuatan suami meminum susu isteri tanpa sebab yang munasabah dianggap sebagai sesuatu yang tiada keperluan," katanya.
Beliau berkata pensyariatan penyusuan ibu kepada bayi berumur dua tahun ke bawah adalah tuntutan penting demi memastikan perkembangan dan tumbesaran yang sihat, dan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan hak bayi terhadap susu ibu, termasuk trend mencabar suami untuk menghabiskan susu badan isteri adalah tidak wajar dan perlu dielakkan.
Mohd Na'im berkata dalam riwayat Muslim terdapat sebuah hadis yang mengajar agar sentiasa menjaga aib pasangan kerana perkahwinan adalah amanah yang perlu dipelihara.
"Saya menyeru agar kita semua mengambil pendekatan lebih matang dan bertanggungjawab dalam menangani isu rumah tangga.
“Lindungilah maruah keluarga dan jagalah hubungan suami isteri dengan kasih sayang serta kesabaran. Islam mengajarkan kita untuk menjadi pasangan yang membahagiakan mengikut syariat Islam," katanya.
-- BERNAMA