MELAKA, 27 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Klebang di sini awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Melaka dan Negeri Sembilan Komander Maritim Norrimi Hassan berkata kapal berkenaan dikesan pada 12.30 pagi ketika bersauh di kedudukan kira-kira satu batu nautika barat daya Klebang tanpa kelulusan Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Pemeriksaan lanjut mendapati buku pelaut kru kapal telah tamat tempoh dan susulan itu, kapal berkenaan ditahan kira-kira 1 pagi.
“Nakhoda dan ketua jurutera kapal, kedua-duanya warga Indonesia dibawa ke Jeti APMM Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Norrimi berkata semua pengendali kapal diingatkan supaya mematuhi peraturan bagi mengelakkan tindakan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi APMM Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian 06-3876730 atau MERS 999," katanya.
-- BERNAMA