KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pemangkin industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak meminggirkan pelajar yang menuntut di maahad tahfiz tidak berdaftar, sebaliknya perlu menarik minat mereka menceburi bidang itu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata hal ini supaya negara dapat melahirkan lebih ramai huffaz yang mempunyai kemahiran tertentu, sekali gus lebih menjamin masa depan mereka untuk memperoleh pekerjaan selepas menjalani program TVET.
“Kita bukan mahu mengambil alih maahad tahfiz itu tetapi kita hanya mahu memberi nilai tambah kepada mereka (pelajar di maahad tahfiz tidak berdaftar) agar pemikiran yang berada di peringkat kejumudan itu dapat kita rungkaikan kerana mereka juga anak muda.
“Mereka juga adalah satu kumpulan sangat berpotensi untuk digilap bakat sebagai guna tenaga (dalam industri TVET),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Penyelaras TVET Peringkat Parlimen di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata hal ini juga selaras dengan usaha beliau untuk memasukkan elemen TVET dalam sistem pendidikan di maahad tahfiz berdaftar di seluruh negara.
Beliau berkata terdapat 1,199 maahad atau institusi tahfiz seluruh negara yang berdaftar, manakala lebih 2,500 maahad tahfiz tidak berdaftar ketika ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid memohon semua negeri serta pihak yang terlibat untuk melaksanakan usaha yang sama seperti dilakukan Johor dan Melaka dalam memperkasakan industri TVET.
“Dua hari lepas, saya bersama Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) telah memulakan satu usaha untuk memberikan latihan (TVET) kepada anak-anak muda bagi memenuhi kehendak pasaran guna tenaga di negeri itu bersesuaian dengan keperluan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
“Melaka juga umpamanya menjadi pusat TVET bagi seluruh negara… kedua-dua negeri ini telah memulakannya, selain apa yang telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan (memperkasakan industri TVET),” katanya.
Mengenai Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Penyelaras TVET Peringkat Parlimen, Ahmad Zahid berharap agar setiap individu yang dilantik menjalankan tanggungjawab mereka untuk menarik minat pelajar melanjutkan pendidikan tinggi di institusi TVET.
Beliau berkata ini bagi membantu kerajaan untuk mencapai sasaran 500,000 pelajar atau peserta TVET pada akhir tahun ini sekali gus untuk memenuhi keperluan industri berkenaan terutamanya terhadap tenaga mahir.
-- BERNAMA