AM

PINDAAN AKTA BERNAMA 1967 TEPAT PADA MASANYA - PENGAMAL MEDIA

27/02/2025 06:08 PM

Oleh Rozainah Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta BERNAMA 1967 (Akta 780), yang kali pertama dibuat sejak digubal pada 1967 bagi memacu reformasi media serta digital, adalah tepat pada masanya, kata Ketua Pengarang Kumpulan Media Chinese International Limited (MCIL) (Malaysia) Datuk Kuik Cheng Kang.

Kuik yang juga Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata dalam era kekeliruan maklumat sekarang, agensi berita berkualiti, seperti Bernama yang berpegang teguh kepada profesionalisme kewartawanan amat diperlukan untuk mempertahankan integriti media.

Beliau berkata dalam era penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa, ungkapan "ada gambar sebagai bukti" sudah tidak relevan dan telah menjadi sejarah kerana bahan-bahan itu kini mudah dipalsukan.

“Hari ini, gambar atau video yang kita lihat, malah suara yang kita dengar, boleh dimanipulasi oleh kecerdasan buatan (AI) sehingga menjadi palsu.

“Oleh itu, langkah agensi berita nasional yang berwibawa seperti Bernama untuk meminda undang-undang dan memacu reformasi media serta digital adalah tepat pada masanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua berkata penggubalan RUU berkenaan bertujuan memastikan komposisi baharu yang lebih dinamik sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa industri media.

Mengenai RUU Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang turut diluluskan semalam, Kuik berkata beliau berharap penubuhannya benar-benar membawa lebih banyak kebebasan kepada media dan tiada peraturan atau mekanisme baharu daripada agensi penguatkuasaan lain yang akan menambah sekatan terhadap media.

“Dalam keadaan industri media yang semakin mencabar, persaingan dan tekanan terhadap media tradisional semakin hebat.

“Oleh itu, kita sendiri perlu melakukan reformasi bagi memperkukuh kredibiliti media. Sebenarnya, banyak media tradisional sudah mempunyai prosedur operasi standard mereka sendiri. Ditambah dengan kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan pengamal media, mereka sudah berada di landasan yang betul,” katanya.

 Industri media Malaysia mencipta sejarah apabila Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU MMM 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil selepas cadangan rang undang-undang itu mula diutarakan pada 1973, iaitu kira-kira 52 tahun lepas.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian Zamri Rambli yang juga Ahli Majlis Pentadbir Institut Kewartawanan Malaysia (MPI) pula berkata usaha mewujudkan MMM yang digagaskan sejak lebih 50 tahun lepas sering menemui jalan buntu sehinggalah satu jawatankuasa sementara dinamakan protem majlis media diwujudkan pada 2018 untuk menggerakkan usaha itu.

“Kita menyambut baik apabila Dewan Rakyat meluluskan RUU MMM 2024. Ia merupakan satu momen yang amat bersejarah. Ia juga menamatkan penantian dan perjalanan yang sangat panjang dalam usaha menubuhkan majlis media ini.

“Saya sendiri hanya menyertai jawatankuasa ini pada 2022 dan memang dapat melihat usaha keras baik di pihak protem diketuai Premesh Chandran (Pengerusi Jawatankuasa Protem MMM) dengan profesional dan pengamal media bersama-sama Kementerian Komunikasi untuk memastikan RUU MMM dibentangkan dan diluluskan,” katanya.

Sebagai pengamal media, beliau berkata MMM diharap dapat menetapkan, mengawal dan mengawasi sendiri standard, amalan dan pelaporan media di negara ini.

“Pada zaman industri media berdepan cabaran besar untuk survival, MMM wajar memainkan peranan dalam isu pendanaan media, kebajikan serta latihan wartawan. Tahniah diucapkan kepada Kementerian Komunikasi, jawatankuasa protem, para editor, badan bukan kerajaan (NGO) media yang berusaha keras dalam memastikan RUU bersejarah ini berjaya diluluskan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan