EKONOMI

TENGKU ZAFRUL LAWAT PUSAT MEDIA ANTARABANGSA MENJELANG PERMUKIMAN AEM KE-31

27/02/2025 06:54 PM

KOTA TINGGI, 27 Feb (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melakukan lawatan ke Pusat Media Antarabangsa (IMC) untuk sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru di sini, yang dijadual berlangsung esok.

Beliau tiba di IMC pada 4.20 petang ini disertai Timbalannya Liew Chin Tong dan disambut Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Walaupun berdepan jadual yang padat, Tengku Zafrul mengambil kesempatan meluangkan masa dan menyapa pengamal media tempatan dan luar negara. 

Dalam lawatan selama lima minit itu, beliau diberi taklimat mengenai operasi harian IMC oleh Nur-ul Afida dan melahirkan rasa puas hati terhadap operasi di IMC.

Bernama, sebagai media rasmi dan penyelaras IMC, menyediakan keperluan media termasuk bahan berita dan gambar kepada petugas media tempatan dan antarabangsa. 

IMC secara rasmi memulakan operasin pada 25 Feb dan setakat ini, 102 petugas media merangkumi wartawan tempatan dan antarabanga telah mendaftar untuk membuat liputan sesi Permukiman AEM yang dihadiri lebih 200 perwakilan dari 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste.

Sesi Permukiman AEM ke-31 dan mesyuarat berkaitannya yang diadakan dari 22 hingga 28 Feb di Desaru, dipengerusikan oleh Tengku Zafrul, bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Semasa permukiman itu, menteri-menteri dijangka membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang bertujuan memperkukuhkan integrasi ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasakan kemampanan, dan merangsang perdagangan digital di rantau ASEAN. 

Sesi permukiman itu telah dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) ke-12 pada 22-23 Feb, diikuti Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) pada 24-25 Feb dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) pada semalam dan hari ini, sebelum kemuncak acara iaitu Permukiman AEM esok. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan