AM

PERCEPAT INFRASTRUKTUR SOKONG TANAMAN PADI LIMA MUSIM DUA TAHUN - PM ANWAR

27/02/2025 08:31 PM

JERLUN, 27 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan infrastruktur bagi menyokong program tanaman padi lima musim dalam dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1, disegerakan.

Anwar berkata bagi menjayakan program itu, kerajaan Kedah dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu bekerjasama bagi menyokong inisiatif berterusan kerajaan untuk meningkatkan hasil padi negara.

Beliau berkata antara usaha yang perlu dijayakan oleh kerajaan negeri ialah mempercepat proses pengambilan tanah bagi menaik taraf infrastruktur sistem pengairan di kawasan terlibat.

"Kerajaan negeri kena percepat pengambilan tanah... semua ini mengambil masa. Kita tidak boleh tolak ansur dah… nanti semua orang ‘lemas’ (petani tidak puas hati)," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda Fasa 1 di Pida 4, Ayer Hitam dekat sini hari ini.

Anwar turut meminta semua agensi terlibat menyediakan laporan kemajuan projek dari semasa ke semasa kepada pihak kementerian bagi memastikan pelaksanaan program itu berjalan mengikut jadual.

Selain itu, beliau juga tidak mahu pelaksanaan program itu dianggap remeh kerana peruntukan RM1 bilion untuk satu kawasan bukanlah jumlah yang kecil.

Pada masa sama, katanya penambahbaikan sistem pengairan ke kawasan sawah, perlu dipercepat kerana sebelum ini pesawah terpaksa menunggu hingga 40 hari untuk mendapatkan bekalan air.

Pada 18 Okt lepas, semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Anwar mengumumkan pelaksanaan projek itu di kawasan Muda Fasa 1 yang melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion dengan keluasan sekitar 11,000 hektar.

Projek itu dijangka dapat meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus serta melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43 peratus.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan