BUTTERWORTH, 27 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan empat kadar zakat fitrah di negeri itu tahun ini berbanding tiga kadar pada tahun-tahun sebelumnya.
Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata kadar yang ditetapkan ialah RM7, RM10, RM15 dan RM25, meningkat sedikit dari tahun lepas iaitu RM7, RM14 dan RM21.
Beliau berkata penetapan kadar itu diputuskan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 3 dan 4 Feb lepas dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaku Ketua Agama Islam bagi Pulau Pinang.
“Kadar minimum perlu dibayar oleh setiap individu berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah ialah RM7 bagi kumpulan yang memakan beras jenis super special tempatan lima peratus dan beras hancur manakala RM10 bagi beras putih import," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2025 di Dewan An-Ansor Masjid Al-Muhajirin Seberang Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata bagi mereka yang memakan beras rebus, Thai white rice (beras Siam) dan beras perang, kadar ditetapkan ialah RM15 manakala RM25 untuk beras wangi, beras pulut, beras herba ponni, beras calrose, beras merah import dan beras basmati.
Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata menurut laporan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) 2025, makanan asasi utama rakyat Pulau Pinang ialah beras putih import, justeru kadar zakat fitrah yang wajib ditunaikan di negeri ini ialah RM10.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang lebih berkemampuan, amat digalakkan untuk membayar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan atau memilih kadar RM15 atau RM25 bagi menyantuni lebih ramai asnaf,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata prestasi kutipan zakat pada 2024 menyaksikan peningkatan kepada RM7.33 juta berbanding RM6.83 juta pada tahun sebelumnya, yang didorong oleh faktor kesungguhan para amil fitrah yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh berdedikasi.
Bagi tahun ini, beliau memaklumkan Zakat MAINPP menyasarkan kutipan zakat fitrah yang sama seperti tahun lepas, iaitu lebih RM7 juta.
Menurut Mohamad, sebanyak 1,689 amil zakat fitrah dilantik MAINPP tahun ini melibatkan 238 pusat kutipan bagi memungut zakat fitrah di seluruh Pulau Pinang.
Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri pada tahun ini telah memperuntukkan RM260,000 untuk masjid-masjid dan surau Jumaat manakala RM416,000 disalurkan Zakat MAINPP melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kepada masjid bagi tujuan pengimarahan solat tarawih.
-- BERNAMA