EKONOMI

ASEAN-BAC AKAN BENTANG CADANGAN PERKUKUH EKONOMI SERANTAU DI PERMUKIMAN AEM

27/02/2025 07:25 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KOTA TINGGI, 27 Feb (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) akan membentangkan cadangan untuk memperkukuh kedudukan ekonomi serantau pada sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-31 yang akan berlangsung di Desaru, dekat sini, esok.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan mempengerusikan sesi permukiman tersebut berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, sedia mendengar dan mempertimbang semua cadangan dalam kalangan entiti swasta di rantau itu termasuk ASEAN-BAC.

"Kita terbuka menerima cadangan, dan, malahan, kita telah memberikan slot masa untuk mereka esok untuk membentangkan kepada semua pemimpin ekonomi ASEAN, bersama-sama dengan Sekretariat ASEAN.

"Kita akan bincang dan lihat apa yang kita fikir boleh diterima pakai untuk manfaat ASEAN," katanya pada sidang media sempena penganjuran Permukiman AEM itu, hari ini.

Tengku Zafrul berkata apa yang penting mesyuarat tersebut akan mendengar dan memperhalusi semua cadangan daripada pihak swasta di rantau ASEAN. 

Semalam Bernama melaporkan Pengerusi ASEAN-BAC Tan Sri Nazir Razak menggesa agar Sekretariat ASEAN yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia harus diberi lebih banyak kuasa untuk mengenal pasti negara yang menggunakan halangan bukan tarif.

Nazir berkata langkah memperkasakan Sekretariat ASEAN itu boleh membantu mengurangkan halangan kepada perdagangan dan pertumbuhan sektor swasta serta mengukuhkan integrasi ekonomi di Asia Tenggara.

Pada masa ini, Sekretariat ASEAN berfungsi sebagai penyelaras untuk memudahkan proses membuat keputusan yang efektif dalam kalangan badan ASEAN.

Mesyuarat permukiman itu berlangsung di Desaru dari 22 sehingga 28 Feb, bersempena dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan