KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Press Metal Aluminium Holdings Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bintulu Development Authority untuk cadangan usaha sama berkaitan dengan kemudahan pembuatan bingkai solar yang akan ditempatkan di Bintulu, Sarawak.
Menurut Press Metal dalam kenyataan hari ini, di bawah terma MoU itu, sebuah syarikat tujuan khas akan ditubuhkan untuk melaksanakan cadangan usaha sama tersebut, dengan Bintulu Development Authority memegang 20 peratus kepentingan dan Press Metal atau anak syarikatnya memegang baki 80 peratus.
Jumlah anggaran pelaburan untuk projek itu ialah RM600 juta, terdiri daripada suntikan modal sebanyak 20 peratus mengikut kadar pegangan saham pihak-pihak yang terlibat dan 80 peratus pembiayaan luar.
Katanya kemudahan pembuatan bingkai solar itu, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 80,000 tan dijangka memulakan operasi pada pertengahan 2026, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan perjanjian akhir.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Paul Koon percaya kerjasama dengan Bintulu Development Authority merupakan pencapaian penting dalam perjalanan Press Metal ke arah menyokong visi Sarawak untuk menjadi hab tenaga boleh baharu dan pembangunan industri yang mampan.
“Kami percaya projek ini akan mengukuhkan ekosistem perindustrian Sarawak dengan memperluas rantaian nilai, mewujudkan peluang yang lebih baik untuk aktiviti dengan nilai tambah dan menjana pekerjaan selain memperkasakan bakat tempatan,” katanya.
-- BERNAMA