AM

BERNAS AGIH RM15 JUTA KEPADA PESAWAH SEMPENA RAMADAN - ANWAR

27/02/2025 08:58 PM

JERLUN, 27 Feb (Bernama) -- Golongan pesawah di seluruh negara bakal menerima agihan sumbangan  membabitkan peruntukan berjumlah RM15 juta daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk membantu mereka melakukan persediaan awal Ramadan dan Syawal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM30 juta yang dipersetujui Bernas untuk disalurkan bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

“Saya minta Bernas bantu pesawah dan bukannya parti politik memandangkan Bernas jana keuntungan daripada pesawah, jadi mereka setuju untuk menyumbang RM30 juta sebelum ini.

“Kita akan salurkan (dahulu) RM15 juta kepada pesawah bagi meringankan beban mereka membuat persediaan awal Ramadan dan Syawal,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda Fasa 1 dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Anwar berkata bantuan berkenaan akan diselaraskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Bernas dalam masa terdekat.

Pada 13 Feb lepas, Anwar mengumumkan tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

Anwar dilapor berkata persetujuan itu disampaikan Syed Mokhtar ketika beliau menghubungi tokoh berkenaan susulan pengumuman harga lantai belian padi yang diselaraskan kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan sentiasa bersedia untuk mendengar keluhan pesawah berkaitan pelbagai isu antaranya benih padi dan baja yang dikatakan kurang berkualiti sehingga memberi kesan kepada hasil padi.

Beliau berkata KPKM juga akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan termasuk pesawah bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan