JERLUN, 27 Feb (Bernama) -- Pesawah di negeri ini yang terjejas banjir baru-baru ini mampu menarik nafas lega apabila beban kewangan ditanggung mereka akibat bencana alam itu sedikit sebanyak dipermudahkan selepas menerima pampasan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), hari ini.
Cek STTP kepada lima Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar di sini.
Ahli Jemaah Pengarah PPK A-III Hutan Kampung Syafiq Azril Mohd Nasis ketika ditemui Bernama menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap nasib yang menimpa golongan pesawah.
"Alhamdulillah, ini sedikit sebanyak dapat tampung kos peringkat awal (tanaman padi) kerana semasa banjir tempoh hari kami kerugian sangat banyak disebabkan ketika itu padi sudah berusia antara 45 dan 50 hari.
"Sekurang-kurangnya bantuan diterima ini boleh digunakan untuk pusingan modal bagi permulaan musim depan pula," katanya.
Sementara itu, Ahli Jemaah Pengarah PPK H-II Kepala Batas Mohamad Dzohir Hamid berkata beliau yang mewakili petani di kawasan PPK berkenaan terharu dan berterima kasih dengan pampasan diberikan kerajaan.
"Semasa banjir tempoh hari, padi sudah berusia sebulan ke atas dan modal yang sudah dikeluarkan pesawah memang tinggi. Menerusi pampasan ini dapatlah mereka tersenyum sedikit kerana kalau tak ada langsung lagi teruk," katanya.
Ucapan terima kasih itu turut dizahirkan Pengerusi PPK D-II Tunjang Zainol Abidin Mohd Noor, Pengerusi A-II Kodiang Mohd Shukri Samsuddin dan Ahli Jemaah Pengarah G-II Jitra Abdollah Ismail.
Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan Projek Pembangunan Infrastruktur bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Ayer Hitam di sini hari ini.
Pelaksanaan projek itu diumum Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion dengan keluasan sekitar 11,000 hektar.
Pada program itu Anwar turut mengumumkan agihan sumbangan RM15 juta daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada pesawah di seluruh negara sebagai persediaan awal Ramadan dan Syawal.
-- BERNAMA