GEORGE TOWN, 27 Feb (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas pulang dari kerja di sebuah hotel di Jalan Bukit Gambir di sini sejak 18 Feb lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata mangsa dikenali sebagai Muhamad Syahir Ghazali, 30, dipercayai keluar dari tempat kerjanya di hotel itu dengan berpakaian uniform kerja dan tidak pulang ke asrama penginapannya.
"Polis juga telah merakamkan keterangan ahli keluarga dan rakan-rakan sekerja bagi mengesan mangsa, malah berdasarkan keterangan tiada sebarang perselisihan faham atau pergaduhan membabitkan lelaki itu dengan mereka.
"Jadi kami menolak kemungkinan mangsa hilang kerana bergaduh dengan ahli keluarga atau rakan-rakannya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu pencariannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam media melaporkan, bapa mangsa, Ghazali Ismail, 66, risau selepas Muhamad Syahir hilang tanpa khabar berita sejak 10 hari lepas dan lebih merumitkan apabila dia tidak membawa telefon bimbit bersama hingga menyebabkan keluarga tidak dapat menjejaki keberadaannya.
Ghazali yang tinggal di Kampung Tersusun Haji Tahir di Temoh, Perak dilaporkan berkata Muhamad Syahir bekerja sebagai juruteknik di sebuah hotel di sini dan tinggal di asrama disediakan oleh majikannya.
-- BERNAMA