Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad dan Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Khamis mengakhiri penurunan selama dua harinya seiring dengan kenaikan di pasaran serantau, disokong oleh aktiviti pembelian saham berharga rendah berikutan penjualan baru-baru ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 9.44 mata atau 0.63 peratus kepada 1,520.94 daripada paras penutup 1,511.50 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 0.39 mata kepada 1,511.89 dan kemudiannya bergerak antara paras 1,511.64 dan 1,521.15 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 547 berbanding 416 manakala 475 kaunter tidak berubah, 1,019 tidak diniagakan dan lapan digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 3.17 bilion saham bernilai RM2.48 bilion daripada 3.18 bilion saham bernilai RM2.44 bilion pada Rabu.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, bursa serantau mencatatkan kenaikan, membayangkan minat risiko yang kembali semula ke dalam pasaran.
Prestasi pasaran tempatan seiring dengan kebanyakan pasaran serantau lain -- Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.66 peratus kepada 4,159.57, Kospi Korea Selatan naik 0.37 peratus kepada 3,192.29 dan Nikkei Jepun 225 menokok 0.6 peratus kepada 39,901.19. Bagaimanapun, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.08 peratus kepada 24,498.95.
“Perhatian pelabur dijangka tertumpu kepada pengumuman data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) hari ini yang melibatkan angka jualan runcit Jun dan tuntutan pengangguran pada minggu lepas.
“Penunjuk ini dijangka menyediakan gambaran lanjut tentang kekuatan perbelanjaan pengguna AS dan keadaan pasaran buruh yang merupakan tolok kritikal bagi tinjauan dasar Rizab Persekutuan AS dan sentimen pasaran global,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek juga berkata FBM KLCI mencatatkan lantunan mendadak hari ini apabila pelabur merebut peluang membeli saham berharga rendah.
"Prestasi hari ini disokong oleh lantunan teknikal dengan aktiviti membeli saham berharga rendah yang dijual dalam sesi-sesi sebelum ini," katanya.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) China yang lebih kukuh daripada jangkaan turut meningkatkan sentimen pelabur.
"Kami percaya indeks petunjuk pasaran perlu kembali melepasi paras 1,530 dengan jumlah dagangan yang kukuh untuk meneruskan trajektori menaik yang berterusan.
“Buat masa ini kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran 1,510-1,530 menjelang hujung minggu," katanya.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.25, Tenaga Nasional menambah 10 sen kepada RM13.78 dan IHH Healthcare naik satu sen kepada RM6.53, manakala Maybank dan CIMB tidak berubah pada RM9.53 dan RM6.50.
Dalam kalangan kaunter cergas, iCents yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE naik 10 sen kepada 34 sen, NexG dan Tanco meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 49 sen dan 90 sen, Lotte Chemical Titan menokok 5.5 sen kepada 56 sen manakala Zetrix AI turun 1.5 sen kepada 93.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 54.14 mata kepada 11,425.17, Indeks FBMT 100 naik 55.72 mata kepada 11,188.37 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 70.02 mata kepada 11,473.97.
Indeks FBM 70 naik 22.65 mata kepada 16,544.04, manakala Indeks FBM ACE meningkat 53.90 mata kepada 4,635.98.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 58.59 mata kepada 17,302.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.36 mata kepada 153.99, Indeks Perladangan menokok 23.75 mata kepada 7,430.54 manakala Indeks Tenaga naik 3.44 mata kepada 739.11.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.28 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 1.38 bilion unit bernilai RM2.11 bilion pada hari Rabu.
Jumlah dagangan waran turun kepada 1.38 bilion unit bernilai RM207.39 juta daripada 1.49 bilion unit bernilai RM213.66 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 512.88 juta unit bernilai RM192.81 juta daripada 304.96 juta unit bernilai RM112.71 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 220.49 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (196.20 juta), pembinaan (92.47 juta), teknologi (239.05 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (67.42 juta), hartanah (168.57 juta), perladangan (12.64 juta), REITs (22.85 juta), dana tertutup (4,200), tenaga (65.69 juta), penjagaan kesihatan (78.87 juta), telekomunikasi dan media (38.44 juta), pengangkutan dan logistik (40.28 juta), utiliti (34.28 juta), dan amanah perniagaan (15,600).
-- BERNAMA