DUNIA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS

17/07/2025 08:07 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Ringgit meneruskan penurunannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Khamis berikutan ketidaktentuan yang berterusan berkaitan dasar tarif AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.2465/2510 daripada 4.2400/2490 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran terus bimbang terhadap kesan tarif AS kepada ekonomi global.

“Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa lebih 150 negara akan dimaklumkan mengenai kadar tarif masing-masing, yang berkemungkinan sekitar 10 hingga 15 peratus.

"Pada masa sama, Trump turut menafikan laporan berhubung kemungkinan pemecatan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell. Pasaran masih berasa gusar mengenai bagaimana perkembangan tarif ini selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran pada awalnya agak terganggu dengan berita berkaitan masa depan Pengerusi Fed itu, yang menimbulkan kebimbangan terhadap campur tangan langsung kebebasan bank pusat AS.

“Situasi itu mencetuskan penjualan pantas dolar AS secara spontan dan minat terhadap emas, namun pergerakan tersebut dilihat terbantut selepas Trump menafikan rancangan untuk memecat Powell,” katanya.

Mengenai ringgit, Innes berkata walaupun mata wang serantau secara amnya menyusut hari ini, sentimen terhadap ringgit bertambah lemah disebabkan kedudukan perdagangan Malaysia dengan AS pada masa ini.

“Berbeza dengan Indonesia yang baru-baru ini memeterai perjanjian untuk mengurangkan tarif dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala, Malaysia masih belum menunjukkan kemajuan yang jelas dalam perkara ini.

"Kelembapan relatif ini mula memberi kesan, terutamanya apabila pelabur global kini memerhati dengan lebih dekat negara-negara yang disenaraikan sebagai sekutu utama Washington menjelang tempoh yang tidak menentu menjelang tarikh akhir tarif pada 1 Ogos,” katanya lagi.

Bagaimanapun, pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang itu meningkat berbanding euro kepada 4.9217/9269 daripada 4.9248/9352 pada penutupan semalam, tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.6886/6946 daripada 5.6786/6907 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8548/8580 daripada 2.8508/8569.

Ringgit juga menunjukkan prestasi lebih baik berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

Ia naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 259.8/260.2 daripada 260.3/260.9 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.41/7.43 daripada 7.43/7.45.

Namun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.0521/0720 daripada 13.0301/0630 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3013/3051 daripada 3.2999/3071.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan