AM

EAIC KESAN BEBERAPA KELEMAHAN DALAM TINDAKAN PENGUATKUASAAN JAS JOHOR

18/07/2025 10:51 AM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memaklumkan pihaknya telah mengesan beberapa kelemahan dalam tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor berhubung operasi sebuah premis kitar semula di kawasan perindustrian Segamat.

Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah pelaksanaan penguatkuasaan, termasuk keberkesanan hukuman dalam mencegah kesalahan berulang, ketidakseragaman garis panduan penguatkuasaan antara negeri dan daerah serta kelewatan dalam pelaksanaan garis panduan kompaun yang telah dipinda.

EAIC dalam kenyataan berkata beberapa langkah penambahbaikan telah dicadangkan, termasuk meningkatkan kadar hukuman bagi kesalahan berulang, menyeragamkan dan memperjelas garis panduan penguatkuasaan di semua peringkat serta melaksanakan segera garis panduan kompaun yang telah dipinda.

"EAIC turut mengesyorkan agar tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil oleh JAS terhadap premis yang melanggar undang-undang alam sekitar," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan