AM

INSENTIF UNTUK SYARIKAT KURANGKAN PENGELUARAN KARBON DALAM RUUPIN - JOHARI

18/07/2025 08:54 PM

KUALA LANGAT, 18 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) akan memasukkan insentif bagi syarikat yang mampu mengurangkan pelepasan karbonnya, kata pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata antara lain ia juga mungkin melibatkan pelaksanaan kredit karbon yang akan menyokong agenda negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

"RUU itu masih dalam peringkat draf (dan) belum dibentangkan kepada Kabinet dan saya masih menelitinya dan cuba melakukan beberapa libat urus dengan pemain industri termasuk Bursa supaya kami dapat beberapa garis panduan dan apabila ia siap ia akan didedahkan kepada rakyat Malaysia.

"Draf pertama sudah ada, tetapi saya perlu menelitinya (secara menyeluruh) untuk memastikan akta yang dibentangkan adalah sesuatu yang diterima industri supaya kita mencapai objektifnya," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran projek perintis Biodiesel B30 di Guthrie's Golden Hope Academy di Pulau Carey di sini hari ini.

Pada 29 Mei lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo dilaporkan berkata rang undang-undang itu dijangka dibentangkan pada Ogos.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan