DUNIA

RINGGIT DIJANGKA DINIAGAKAN DALAM JAJARAN RM4.24-RM4.26 MINGGU DEPAN

19/07/2025 10:26 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran RM4.24 hingga RM4.26 minggu depan di tengah-tengah petunjuk bercampur-campur dalam pasaran.

Ini susulan jangkaan potensi pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping serta mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada akhir bulan ini.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran dijangka lebih optimis minggu depan, kerana potensi pertemuan Trump-Xi boleh menyambung semula dialog AS-China yang seterusnya dapat melonjakkan sentimen pasaran Asia.

"Bagi Malaysia, pengenduran ketegangan perdagangan boleh mencerahkan prospek makro dan seterusnya, menyediakan peluang kepada ringgit dalam tempoh terdekat. Langkah diplomatik itu, walaupun sementara, membantu mengekang jualan ringgit yang lebih agresif menghala ke hujung minggu," katanya kepada Bernama.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata  mesyuarat FOMC seterusnya akan diadakan pada 29 dan 30 Julai, justeru, peserta pasaran akan memantau rapat sama ada Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengurangkan Kadar Dana Fed.

"Minggu depan, tidak banyak data untuk diperhatikan selain kenyataan daripada pegawai Fed; dengan itu, pasaran akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat," katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, ringgit terus disokong oleh asas domestik yang bertambah baik, peningkatan aliran masuk pelaburan langsung asing dan pemangkin infrastruktur seperti penyambungan semula projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3).

"Kami menjangkakan dolar-ringgit AS berlegar dalam jajaran antara RM4.23 hingga RM4.25 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat," kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, ringgit mengakhiri minggu ini dengan ditutup tinggi berbanding dolar AS, pada 4.2410/2455 daripada 4.2475/2525 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan juga diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8517/8549 daripada 2.8893/8929 pada minggu sebelumnya dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6999/7060 daripada 5.7524/7592. 

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8517/8549 daripada 2.8893/892, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6999/7060 daripada 5.7524/7592  dan menokok berbanding euro kepada 4.9336/9388 daripada 4.9679/9737.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3027/3065 daripada 3.3186/3228 pada minggu sebelumnya, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 260.2/260.6 daripada 261.8/262.3 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.41/7.43 daripada 7.32/7.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thai kepada 13.3027/3065 daripada 13.0668/0886.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan