DUNIA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA KEKALKAN KECENDERUNGAN MENINGKAT MINGGU DEPAN

19/07/2025 10:24 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mengekalkan kecenderungan meningkat minggu hadapan, didorong minat belian baharu yang dilihat sejak dua sesi dagangan lepas, kata Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan.

Beliau menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) didagangkan dalam julat 1,540 hingga 1,550, dengan kemungkinan menguji semula paras yang dicatatkan sebelum tarikh akhir penangguhan tarif balas.

“Walaupun pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump masih belum mengumumkan sebarang pindaan rasmi terhadap pengaturan tarif Malaysia namun, keputusan yang dicapai baru-baru ini bagi Indonesia dan Vietnam memberikan keyakinan bahawa tarif 25 peratus terhadap Malaysia mungkin disemak semula,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain itu, angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua yang lebih kukuh daripada jangkaan turut akan menambah baik sentimen pasaran minggu depan.

“Berdasarkan penilaian kami, gabungan pertumbuhan domestik yang berdaya tahan dan penilaian ekuiti yang menarik, khususnya dalam persekitaran minat risiko bagi saham terpilih, berkemungkinan terus menarik minat pelabur asing ke dalam pasaran Malaysia,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua 2025 berdasarkan anggaran awal KDNK, sedikit mengatasi 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan dijangka didorong oleh permintaan domestik yang kukuh walaupun mengalami cabaran global.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, indeks petunjuk pasaran susut 10.21 mata kepada 1,525.86 daripada 1,536.07 minggu lepas.

Indeks FBM Emas susut 63.75 mata kepada 11,479.83, Indeks FBMT 100 menguncup 67.05 mata kepada 11,241.69, Indeks FBM Emas Syariah turun 14.60 mata kepada 11,537.87, Indeks FBM 70 kurang 63.63 mata kepada 16,697.72, manakala Indeks FBM ACE melonjak 133.62 mata kepada 4,671.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 253.30 mata kepada 17,354.83, Indeks Perladangan turun 8.56 mata kepada 7,441.89 dan Indeks Tenaga naik 1.51 mata kepada 739.13.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 15.53 bilion unit bernilai RM11.77 bilion daripada 16.21 bilion unit bernilai RM11.43 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 6.73 bilion unit bernilai RM10.07 bilion berbanding 6.99 bilion unit bernilai RM10.02 bilion sebelum ini.

Julmlah dagangan waran pula berkurangan  kepada 6.83 bilion unit bernilai RM966.72 juta daripada 7.82 bilion unit bernilai RM911.38 juta minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.97 bilion unit bernilai RM729.96 juta daripada 1.41 bilion unit bernilai RM490.78 juta minggu lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan