IPOH, 19 Julai (Bernama) -- Seorang wanita warga asing sanggup meninggalkan suami serta dua anak kecilnya demi menyelamatkan diri sebaik sahaja tempat tinggal mereka diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu di sini awal pagi ini.
Dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah tapak pembinaan di Persiaran Panorama Lapangan Perdana di sini, wanita yang berasal dari Sulawesi itu melarikan diri kerana dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Ketika operasi dijalankan, suami bersama dua anak mereka yang masing-masing berusia dua dan tiga tahun telah ditahan pihak berkuasa manakala wanita terbabit gagal dikesan.
Keluarga terbabit merupakan antara lebih 200 warga asing yang diperiksa dalam operasi berkenaan termasuk kira-kira 10 kanak-kanak.
Pengarah JIM Perak Datuk James Lee berkata daripada jumlah diperiksa, kira-kira 120 ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Matlamat operasi kita pada malam ini adalah untuk membanteras kesalahan pasport dan juga telah tinggal lebih masa serta menggunakan pas yang tidak sah.
"Saya menasihati majikan yang di luar sana untuk menggaji pekerja asing, tolonglah datang ke Jabatan Imigresen, jangan gunakan orang kedua untuk memproses pas-pas ini (Imigresen)," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Beliau berkata kesemua ditahan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya manakala kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen dihantar ke depoh khas.
-- BERNAMA