KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Pengguna Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dinasihatkan supaya merancang perjalanan susulan terdapat kerja-kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan sistem perparitan dan penutupan lorong kanan di kedua-dua arah di NKVE itu akan bermula hari ini sehingga 14 Okt depan.
Ia melibatkan laluan Damansara-Bukit Lanjan di Kilometer (KM)19.3 hingga KM20.0 serta lencongan jalan di lokasi diaktifkan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.
Sementara itu, di ELITE pula akan bermula pada 21 hingga 25 Julai pukul 11 malam hingga 5 pagi melibatkan laluan Putrajaya-Bandar Saujana Putra di KM19.5 hingga KM18.0 berikutan kerja-kerja pelancaran rasuk jambatan selain laluan kontra diaktifkan.
“Pengguna lebuh raya disarankan supaya merancang perjalanan mereka sepanjang tempoh itu. Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan terbabit.
“Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, Aplikasi X@plustrafik atau Papan Tanda Elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan kecemasan.
Dalam kenyataan berasingan, PLUS memaklumkan laluan lorong pintar (smart lane) dari Kulai ke Sedenak di KM26.7 hingga KM33.7 (arah utara) akan ditutup bermula 21 Julai, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menambah baik infrastruktur lebuh raya.
PLUS memaklumkan penutupan itu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahan lorong di kawasan berkenaan.
“Sepanjang tempoh kerja-kerja dijalankan, dua lorong sedia ada di lokasi terlibat dibuka seperti biasa bagi mengekalkan aliran trafik dan meminimumkan gangguan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.
Sementara itu, laluan lorong pintar dari Senai ke Kulai di KM19.0 hingga KM26.7 (arah utara) beroperasi seperti biasa.
-- BERNAMA