KUANTAN, 19 Julai (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) 2025 di Pahang mencatatkan hasil jualan sebanyak RM25 juta dalam tempoh enam bulan penganjuran, bermula Januari lepas.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Jezlily Jamaluddin berkata hasil itu diperoleh menerusi perlaksanaan program berkenaan di 744 lokasi di seluruh negeri, dengan kehadiran 713,651 pengunjung.
Beliau berkata untuk tahun ini, pihaknya menyasarkan 1,008 PJRM yang menjual barangan keperluan harian dalam bentuk barangan makanan dan bukan makanan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
“Penduduk di kawasan pendalaman turut menerima manfaat apabila PJRM dilaksanakan di setiap 42 kawasan Dewan Undangan Negeri sekurang-kurangnya dua kali sebulan,” katanya kepada Bernama.
Takwim PJRM boleh didapati menerusi Facebook KPDN Pahang serta laman sesawang https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.
PJRM yang dilancarkan pada 11 Jan 2023 adalah program jualan murah sepanjang tahun dengan keutamaan di lokasi rakyat berpendapatan rendah yang bertujuan merancakkan ekonomi sektor peruncitan kawasan setempat, di samping membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Antara barang keperluan harian yang diberikan diskaun adalah ayam, ikan, telur ayam, gula putih bertapis, minyak masak botol, tepung gandum, beras, barangan penjagaan diri dan barangan pembersihan rumah.
Sementara itu, Jezlily memaklumkan sebanyak 1,343 tong gas petroleum cecair (LPG) yang dianggarkan bernilai hampir RM40,000 disita selepas pihaknya mula melaksanakan Op Gasak di Pahang pada 1 Mei lepas.
Tindakan itu dilaksanakan selepas KPDN melakukan lapan serbuan iaitu empat di daerah Kuantan, dua di Raub dan masing-masing satu di Temerloh dan Rompin, hasil aduan orang awam, risikan serta pemeriksaan berkala.
“Keberkesanan daripada operasi ini, kita dapat melihat peningkatan kepada penggunaan LPG industri atau tanpa subsidi dalam sektor perniagaan hotel, kilang dan restoran makanan segera kecuali kedai makan, warung kecil dan dobi yang masih diberi kelonggaran menggunakan LPG subsidi,” katanya.
Beliau berkata sebelum pelaksanaan Op Gasak beberapa mesyuarat telah diadakan bersama pembekal, pengedar dan pemborong LPG di KPDN Pahang.
“Selain itu, pendekatan penguatkuasaan berhemah dan prihatin ke atas semua rantaian peniaga semasa pemeriksaan di lapangan sentiasa dilaksanakan sebelum ini serta advokasi dalam beberapa siri ceramah kesedaran pengguna dan peniaga turut diadakan,” kata Jezlily.
-- BERNAMA