AM

MANGSA NAHAS HELIKOPTER KONSTABEL DEVENDRAN KINI DIRAWAT DI WAD BIASA

19/07/2025 02:54 PM

JOHOR BAHRU, 19 Julai (Bernama) -- Mangsa nahas helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) Konstabel R G Devendran yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) telah pun dipindahkan ke wad biasa hari ini.

Devendran, 39, yang juga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri sebelum ini ditidurkan untuk mengurangkan pergerakan serta membantu mempercepat proses pemulihan.

Pengerusi Jawatan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata keadaan Devendran sudah stabil dan dipindahkan ke wad biasa untuk menerima rawatan seterusnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keadaan terkini kelima-lima mangsa nahas selepas majlis penyerahan sumbangan oleh Persatuan Fo Guang Shan di Wad Perubatan Perempuan PP1 HSA di sini hari ini.

Sementara itu, pemerhati udara Koperal Adeline Liu Yan Siu yang sebelum ini turut dirawat di ICU telah dibenarkan keluar hospital pada Rabu lepas dan menjalani rawatan susulan di Hospital Serdang.

Dua mangsa yang menerima rawatan di wad biasa, iaitu juruterbang ACP Faizul Mohammad dan pembantu juruterbang Supt Ahmad Bustamin Baharom dibenarkan keluar hospital pada Selasa.

Faizul dan Ahmad Bustamin masing-masing akan menjalani rawatan susulan di Hospital Serdang dan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Sarjan Siti Latipa Khairuddin yang bertugas di Balai Polis Tanjung Kupang pula masih dirawat di wad biasa HSA.

Pada 10 Julai lepas, helikopter jenis AS355N milik PDRM yang membawa lima kru terlibat dalam nahas di Sungai Pulai, Gelang Patah ketika menjalani latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025, membabitkan kerjasama Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan