KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) menggesa Kerajaan Perpaduan agar mempertimbangkan peluasan inisiatif Kad Pekerja MADANI kepada golongan pesara yang masih memerlukan sokongan bagi menghadapi tekanan kos sara hidup.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata ramai dalam kalangan pesara masih mempunyai tanggungan dan tidak terkecuali daripada beban ekonomi semasa.
“Golongan pesara juga penting untuk diberikan diskaun dan manfaat melalui Kad Pekerja MADANI kerana ramai antara kami masih menanggung keluarga serta berdepan kos rawatan kesihatan yang tinggi.
“Kami merayu agar kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan peluasan inisiatif ini kepada semua pesara di seluruh negara,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Sambutan Hari Pesara 2025 Peringkat Kebangsaan di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri,di sini hari ini.
Kad Pekerja MADANI merupakan kad keanggotaan khas yang diberikan kepada ahli kesatuan pekerja, membolehkan mereka menikmati pelbagai diskaun dan faedah istimewa hasil kerjasama lebih 100 syarikat terkemuka tanah air.
Sementara itu, Timbalan Presiden KUPEKMAS Mohd Shaman Jaes menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) agar mempercepatkan proses pelantikan wakil pesara dalam barisan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) di seluruh negara.
Katanya perkara tersebut telah dibangkitkan dalam pertemuan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada April lepas.
“Penyertaan wakil pesara dalam ALPH amat penting bagi memastikan isu sebenar yang dihadapi golongan pesara, khususnya berkaitan akses rawatan kesihatan dapat disalurkan terus kepada pihak kementerian.
“Kesihatan merupakan isu utama pesara, di samping cabaran kewangan. Kita tidak mahu suara pesara hanya disampaikan melalui kumpulan bukan pesara yang kurang memahami realiti sebenar,” tegasnya.
-- BERNAMA